Jalex mahu tarik banyak pelabur, buka peluang pekerjaan untuk anak muda

SEGAMAT – Menarik lebih banyak pelaburan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis bagi membuka peluang pekerjaan kepada anak muda menjadi tekad utama calon Pakatan Harapan (PH), Jalex Lee En Xiang, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon berusia 34 tahun itu berkata, beliau mahu memainkan peranan sebagai ‘jurujual Pemanis’ dengan mempromosikan segala potensi kawasan berkenaan kepada pelabur bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Menurut beliau, Pemanis memiliki pelbagai kelebihan yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dan usaha menarik pelaburan baharu membolehkan lebih ramai anak muda bekerja berhampiran keluarga tanpa perlu berhijrah ke bandar besar.

“Saya mahu menjadi jurujual Pemanis. Tugas saya ialah membawa masuk lebih banyak pelaburan supaya lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan dan anak-anak muda tidak perlu meninggalkan kampung halaman untuk mencari rezeki.

“Apabila pelaburan bertambah, ekonomi tempatan juga akan berkembang dan secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang kepada usahawan setempat,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama DUN Pemanis, pada Selasa.

Jalex berkata, selain pemerkasaan ekonomi, isu yang sering dibangkitkan hasil pertemuan dengan pengundi sepanjang tempoh berkempen adalah keperluan menambah baik kemudahan kesihatan, termasuk penyediaan ambulan serta akses yang lebih baik kepada perkhidmatan perubatan.

“Pemanis mempunyai ramai warga emas, jadi kemudahan kesihatan perlu diperkasakan kerana itulah antara keperluan utama yang disuarakan penduduk.

“Pada masa sama, saya juga berhasrat menjadikan sektor agropelancongan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dengan mempergiat promosi produk ikonik Pemanis seperti durian dan ikan baung, selain membantu usahawan tempatan menembusi pasaran eksport.


“Kita sudah mempunyai produk yang berkualiti. Tumpuan sekarang ialah memperhebatkan promosi, mengembangkan industri pelancongan dan membawa produk tempatan ke pasaran luar negara,” katanya.

Dalam masa sama, anak jati Johor itu berikrar untuk memperhebatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan pertanian moden bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri serta menyokong kemasukan pelaburan baharu.

Beliau juga berjanji memperjuangkan usaha menaik taraf jalan raya, sistem saliran, projek tebatan banjir, kemudahan asas serta liputan internet berkelajuan tinggi termasuk rangkaian 5G.

“Lima tekad adalah pelan tindakan untuk membina Pemanis yang lebih maju, berdaya saing dan  destinasi pilihan pelabur, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh penduduk,” katanya.

Pada kempen kali ini Jalex tampil menggariskan lima tekad utama yang disifatkan sebagai pelan tindakan menyeluruh untuk mentransformasikan Pemanis menjadi kawasan yang lebih maju, berdaya saing dan mesra pelaburan.

Pada PRN Johor kali ini, Jalex yang bertanding sebagai calon nombor 3 berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Anuar Abd Manap dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Ariventharan Anandan.

PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai depan, manakala pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai.

  • Related Posts

    Big Sabah Car Show 2026 berpotensi jadi tarikan utama pelancongan Sabah

    KOTA KINABALU – Penganjuran The Big Sabah Car Show 2026 berpotensi menjadi antara acara pelancongan utama Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah 2027 (Visit Sabah 2027), sekali gus merancakkan ekonomi tempatan.…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Penduduk rayu campur tangan Sultan Pahang isu tanah Chemomoi

    BENTONG – Seramai 300 pengusaha ladang kelapa sawit di kawasan Hutan Simpan Kemasul Tambahan 2, berhampiran FELDA Chemomoi, di sini, merayu campur tangan Sultan Pahang, Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    Big Sabah Car Show 2026 berpotensi jadi tarikan utama pelancongan Sabah

    Big Sabah Car Show 2026 berpotensi jadi tarikan utama pelancongan  Sabah

    Penduduk rayu campur tangan Sultan Pahang isu tanah Chemomoi

    Penduduk rayu campur tangan Sultan Pahang isu tanah Chemomoi

    Teknologi AI mampu perkasa pembangunan bakat muda bola sepak Sabah – Masidi

    • By Ithma
    • October 14, 2026
    Teknologi AI mampu perkasa pembangunan bakat muda bola sepak Sabah – Masidi

    Raja-Raja Melayu tegaskan pertikaian takhta Negeri Sembilan bukan bahan politik

    Raja-Raja Melayu tegaskan pertikaian takhta Negeri Sembilan bukan bahan politik

    Tuanku Muhriz zahirkan Azrin Khairi Undang Luak Jelebu ke-17

    Tuanku Muhriz zahirkan Azrin Khairi Undang Luak Jelebu ke-17

    Polis siasat insiden pelancong Itali dibaling batu

    Polis siasat insiden pelancong Itali dibaling batu