
KOTA KINABALU – Sambutan Pesona Raya Mutiara Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung bukan sekadar sambutan biasa tetapi menjadi wadah dalam memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga kampus.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, semua pusat tanggungjawab di UMS terlibat menyediakan pelbagai juadah raya melalui 29 gerai yang dikendalikan oleh warga UMS untuk dinikmati para tetamu.
“Saya percaya menguruskan acara sebegini berupaya memekar dan memugarkan semangat kerja berpasukan dan meningkatkan darjah kegembiraan dalam kalangan warga universiti.
“Kerja berpasukan mempunyai banyak kelebihan kerana ia berkait dengan kepelbagaian keupayaan, kepakaran, kemahiran, pengetahuan, komitmen serta peningkatan prestasi demi menghasilkan kejayaan dan memartabatkan reputasi universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan alu-aluannya di Majlis Sambutan Pesona Raya Mutiara UMS, di Dewan Kuliah Pusat Ke-2, di sini, pada Khamis.
Jelasnya, sambutan ini juga membuka peluang kepada rakyat berbilang kaum, agama dan budaya untuk bersama-sama berkongsi keceriaan.
Beliau turut menegaskan sambutan ini bukan sekadar budaya tahunan, malah mampu menjadi pelaburan masa depan yang membawa impak besar dalam membina masyarakat kampus yang harmoni dan bersatu padu.

Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag.
Pada sambutan ini turut dipertandingkan gerai terbaik yang dimenangi oleh Jabatan Bendahari UMS.







