PRK Ayer Kuning: Jangan pandang enteng latar belakang ustaz BN

KURANG 72 jam lagi waktu yang tinggal bagi semua parti bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning untuk melaksanakan proses berkempen sebelum hari pengundian pada 26 April ini.

Tempoh 14 hari ini juga akan menentukan ke mana arah tuju para pengundi Ayer Kuning untuk memilih bakal calon wakil rakyat untuk terus mengemudi dan membawa suara mereka dalam tempoh lebih dua tahun lagi sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pada PRK Ayer Kuning yang juga PRK ke-11 selepas PRU15, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili, Dr Mohamad Yusri Bakir, menentang calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

Pelbagai cara, isu, kerenah dihidangkan oleh setiap parti dalam mewarnai selama 14 hari kempen yang akan berakhir tepat 11.59 malam pada 25 April nanti.

Menyentuh soal keperibadian calon pula, ketiga-tiga calon masing-masing mempunyai kelebihan dan aura tersendiri.

Dua ustaz bertemu seorang peguam, namun jangan dilupa, ‘Ustaz BN’ juga bukan calang-calang latar belakangnya.

Dr Mohamad Yusri atau mesra dengan panggilan Ustaz Dr Yusri Bakir dilahirkan pada tahun 1972 di Ayer Kuning, Tapah.

Beliau yang juga tokoh pendidikan dan aktivis masyarakat, merupakan figura yang cukup dikenali dalam bidang Islam.

Sebelum menjadi calon, beliau berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, setelah memulakan kerjaya sebagai guru di beberapa buah sekolah rendah di Tapah dan Temoh.

Ustaz Dr Yusri Bakir juga memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI) pada tahun 2017.

Menurut seorang pengundi, Rulizah Adenan@Adnan, 65, jangan dipandang enteng latar belakang ustaz BN.

Ujarnya, bapa Ustaz Dr Yusri Bakir, iaitu Bakir Ramigin, dahulunya adalah seorang ustaz yang amat disegani di daerah Batang Padang.

“Allahyarham Ustaz Bakir seorang penyelia sekolah agama rakyat atau KAFA di Daerah Batang Padang ini.

“Dia bukan sahaja dikenali orang Tapah, bahkan dalam kalangan Orang Asal juga arwah turut dikenali.

“Ini menunjukkan, ustaz BN bukan baru dikenali. Dia adalah anak jati Ayer Kuning yang tinggal di Kampung Haji Ariff, di sini,” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press (TMP).

Malah, ketika Allahyarham Ustaz Bakir meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya kira-kira sembilan tahun lalu, dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Ustaz Dr Yusri Bakir sendiri.

Mohd Zafri Adenan, 59, pula berkata, walaupun Ustaz Yusri baru lagi menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, tetapi beliau sudah aktif dalam arena politik sejak dua dekad lalu.

“Beliau pernah mengetuai Cawangan UMNO Kampung Sekolah serta memainkan peranan penting dalam biro pendidikan dan kebajikan UMNO peringkat bahagian.

“Jika ditanya saya, sekiranya pada malam 26 April ini, kemenangan memihak kepada ustaz BN, saya mengharapkan beliau akan meneruskan perkhidmatan yang sama atau lebih daripada penyandang sebelum ini.

“Saya yakin beliau mampu menggalas amanah ini sebaik mungkin,” kata pengundi PDM Sungai Karong itu.

Selain bidang politik, Ustaz Yusri turut aktif dalam pelbagai pertubuhan pendidikan dan koperasi.

Beliau hadir ke gelanggang PRK DUN Ayer Kuning dengan membawa tema “Ayer Kuning Sejahtera”, sebuah manifesto yang menumpukan kepada peningkatan infrastruktur asas, pembangunan belia melalui latihan kemahiran, pengukuhan perpaduan kaum serta pemerkasaan ekonomi setempat.

Dalam kehidupan peribadi, beliau merupakan suami kepada Rosnani Mahmud, wanita keturunan Hakka yang memeluk Islam selepas berkahwin dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

Bagi masyarakat Orang Asal, Ngah Rozan Uda, 55, dia masih lagi mengingati kebaikan keluarga Ustaz Yusri terutama arwah bapanya, Ustaz Bakir.

“Banyak juga jasa arwah Ustaz Bakir kepada kami penduduk masyarakat Orang Asli di Sungai Kurong ini.

“Apabila anaknya, Ustaz Yusri menjadi calon BN, ini masa kami pula untuk membalas budi dalam menjalankan tanggungjawab dengan mengundi beliau pula,” katanya.

Sementara itu, bagi anak muda, Nurul Nazira Mohd Zafri, 32, biarpun masih muda, namun dia juga mengagumi salasilah serta latar belakang calon BN.

“Saya tetap mengharapkan agar Ustaz Yusri menang pada PRK ini.

“Bagi saya, isu babi yang dibawa oleh pihak pembangkang, PN, bukan isu utama yang perlu dijadikan modal politik.

“Kita mahu melihat apa yang ditawarkan dan memberi kesan dalam jangka masa panjang buat kami pengundi Ayer Kuning,” katanya kepada TMP.

Dalam manifesto BN, Ustaz Dr Yusri Bakir berhasrat meneruskan legasi Allahyarham Ishsam dengan memberi penekanan terhadap isu pendidikan, kebajikan masyarakat, dan keharmonian antara kaum.

Sebagai anak seorang guru agama, yang dibesarkan dalam persekitaran yang kaya dengan pengajian agama, ustaz BN ini juga ada punyai kelebihannya tersendiri.

Jadi, besar harapan agar para pengundi di DUN Ayer Kuning dapat membuat keputusan terbaik dalam memilih wakil rakyat mereka pada 26 April ini.

Ustaz Dr Yusri Bakir akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong, Tapah.

Related Posts

Hospital Bukit Mertajam tersenarai 250 terbaik dunia – PM

KUALA LUMPUR – Pengiktirafan Hospital Bukit Mertajam (HBM), Pulau Pinang sebagai antara hospital hijau terbaik dunia merupakan pencapaian yang membanggakan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menerusi hantaran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
RM958 juta lesap akibat penipuan dalam talian setakat Jun – Fahmi

PUTRAJAYA – Kes penipuan dalam talian terus mencatatkan angka membimbangkan apabila kerugian dilaporkan mencecah RM958 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pembekalan baja kepada MADA dilaksana ikut jadual – NAFAS

Pembekalan baja kepada MADA dilaksana ikut jadual – NAFAS

Sindiket seleweng LPG dalam ladang kelapa sawit tumpas

Sindiket seleweng LPG dalam ladang kelapa sawit tumpas

Hospital Bukit Mertajam tersenarai 250 terbaik dunia – PM

Hospital Bukit Mertajam tersenarai 250 terbaik dunia – PM

RM958 juta lesap akibat penipuan dalam talian setakat Jun – Fahmi

RM958 juta lesap akibat penipuan dalam talian setakat Jun – Fahmi

Kestabilan politik perlu dipelihara demi keyakinan pelabur – Anwar

Kestabilan politik perlu dipelihara demi keyakinan pelabur – Anwar

Pertahanan negara perlukan tambahan peruntukan hingga berbilion ringgit – Anwar

Pertahanan negara perlukan tambahan peruntukan hingga berbilion ringgit – Anwar