
PUTRAJAYA – Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberitahu bahawa Kabinet bersetuju dengan pembentukan jawatankuasa teknikal bagi memastikan harga dan bekalan bekalan makanan keperluan terkawal, kata Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan berkata, penubuhan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian adalah usaha untuk menambah baik mekanisme semasa menstabilkan harga dan bekalan makanan di mana terdapat skim kawalan harga pada setiap musim perayaan.
“Pembentukan jawatankuasa teknikal ini adalah untuk mengukuhkan kerjasama merentas kementerian yang sebelum ini digerakkan secara ‘ad hoc’ setiap kali menjelang musim perayaan bagi menangani sebarang isu mengenai harga dan bekalan barangan keperluan untuk rakyat.
“Dengan adanya jawatankuasa teknikal ini, kami akan memastikan perancangan dibuat lebih awal,” katanya pada sidang media ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri KPDN di sini, pada Rabu.
Armizan berkata mesyuarat pertama yang berlangsung pada bulan depan akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.
“Ini adalah pendekatan seluruh negara kerana ia melibatkan agensi kerajaan dan industri,” tambah Armizan.
Beliau berkata jawatankuasa itu terdiri daripada tiga kementerian utama iaitu wakil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta agensi dan industri berkaitan bersama jawatankuasa akan bersidang setiap dua bulan.
“Tujuan penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk menambah baik bentuk kerjasama kepada gerak kerja yang lebih strategik dan berterusan melalui mesyuarat serta pelaporan berkala.
“Jawatankuasa teknikal ini juga akan berperanan sebagai mekanisme amaran awal bagi memastikan isu berkaitan harga dan bekalan dapat ditangani dengan cekap serta berkesan,” katanya.
Tambah Armizan, menerusi jawatan kuasa teknikal ini, pemantauan akan dijalankan terhadap keperluan asas utama seperti daging, ayam, ikan, telur, sayur dan lain-lain yang mendapat permintaan daripada para pengguna.
Ujarnya, sekiranya dikesan isu melibatkan harga dan bekalan di pasaran, pelan intervensi kerajaan akan dipertimbangkan.






