Dr Fuziah Salleh
KUANTAN – Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh mengesahkan tidak bertanding dalam sebarang jawatan pada pemilihan parti kali ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat atas permintaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu beliau memberi sepenuh perhatian terhadap tugas berkaitan pengurusan parti.
“Saya memang sudah dua penggal tak bertanding di peringkat Cabang dan saya serahkan jawatan Ketua Cabang dari tahun 2018 kepada penyandang sekarang.
“Di peringkat nasional, saya diminta oleh Presiden untuk fokus kerja-kerja parti, menguruskan parti ini memerlukan tumpuan. Jadi saya tidak bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, dekat Indera Mahkota, hari ini.
Menjawab mengenai proses pemilihan PKR 2025 Fuziah berkata, ia berjalan dalam keadaan aman dan teratur serta jauh berbeza berbanding suasana tegang dalam pemilihan-pemilihan lalu.
“Kalau orang luar tengok, memang dulu-dulu pemilihan Keadilan (PKR) ini penuh dengan cerita-cerita baling kerusi dan sebagainya.
“Tapi Alhamdulillah, kali ini memang tenang dan segalanya berjalan lancar kerana kita sepenuhnya menggunakan sistem e-voting, melainkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas, tidak mempunyai telefon pintar atau masalah liputan internet,” katanya.



