
FENOMENA membeli persiapan Aidilfitri di platform online membuktikan bahawa bazar raya dalam talian bukan sekadar menjadi trend sementara, tetapi merupakan satu revolusi dalam dunia perniagaan moden pada masa ini.
Pensyarah Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Dr Noor Aslinda Abu Seman berkata, ruang perniagaan kini lebih terbuka sehingga membolehkan peniaga kecil dan syarikat gergasi bersaing secara adil tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
Lebih menarik, katanya, bukan hanya peniaga Muslim mengambil peluang itu, namun usahawan bukan Islam seperti Cina dan India juga semakin memahami perubahan trend dan memanfaatkan platform digital dengan menjual barangan berkaitan Aidilfitri seperti pakaian, dekorasi rumah, dan juadah perayaan.
“Menurut laporan Google, 72 peratus pembeli percaya Ramadan adalah masa terbaik untuk mendapatkan tawaran hebat. Statistik menunjukkan ramai pengguna lebih cenderung berbelanja selepas waktu berbuka (48 peratus), selepas solat tarawih (38 peratus), dan sebelum sahur (24 peratus).
“Dengan teknologi yang semakin maju dan strategi pemasaran yang bijak, sesiapa sahaja boleh memanfaatkan platform digital ini untuk mengembangkan perniagaan mereka. Pada akhirnya, pengguna akan dapat manfaat lebih banyak pilihan.
“Dapat harga lebih kompetitif, dan pengalaman membeli-belah lebih lancar. Tidak mustahil, bazar raya atas talian akan terus berkembang dan menjadi norma baharu dalam dunia perniagaan digital,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Mengulas lanjut, Noor Aslinda berkata, selain mempunyai kelebihan beroperasi secara 24 jam, bazar raya atas talian menawarkan baucar, diskaun berganda serta penghantaran secara percuma menjadikan bazar raya digital lebih menarik serta pembelian oleh pengguna adalah lebih berbaloi.
Jelasnya, interaksi secara langsung juga menjadi daya tarikan utama platform seperti TikTok Shop bukan sekadar platform hiburan, tetapi juga ruang untuk inspirasi, penemuan, dan pembelian kepada pengguna.
“Strategi pemasaran seperti personalisasi dan influencer marketing pula digunakan untuk mencadangkan produk berdasarkan minat individu serta meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap jenama melalui kerjasama dengan influencer.
“Ekonomi baucar juga menjadi strategi penting dalam menarik pelanggan. Walaupun menawarkan banyak diskaun, platform e-dagang tetap menjana keuntungan melalui komisen daripada setiap jualan, kos promosi yang ditanggung oleh peniaga, dan jumlah transaksi yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Aslinda memaklumkan, jaminan selepas jualan serta polisi pemulangan barang tanpa kos tambahan turut membantu meningkatkan kepercayaan serta keyakinan pengguna terhadap platform digital.
“Ini membuktikan bahawa bazar raya dalam talian bukan sahaja menguntungkan peniaga tetapi juga memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih selamat dan mudah bagi pengguna.
“Pada masa sama, ia juga bukan sekadar fenomena namun satu kemudahan kepada orang ramai selain perubahan ketara dan besar yang telah dicapai dalam dunia perniagaan moden ketika ini,” katanya.



