
PITAS – Sebanyak enam rumah teres melibatkan lima rumah sewa dan sebuah rumah persendirian di Kampung (Kg) Taka mengalami kerosakan apabila bumbung tercabut akibat ribut kencang.
Menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), penduduk yang terjejas terus dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Belia dan Sukan Pitas.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pitas giat melakukan pemantauan di beberapa kawasan ‘hotspot’ banjir dan ribut petir.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi APM Pitas, beberapa jalan utama telah dinaiki air manakala beberapa rumah terjejas akibat angin kencang.

“Antara kampung yang terlibat ialah Kg Pinggan-Pinggan, Kg Tambilidon dan Kg Taka.
“Penduduk dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah awal jika keadaan bertambah buruk,” katanya.
Justeru itu, orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi APM Pitas di talian 088-615655.
Sebelum itu, daerah Pitas diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir susulan hujan lebat berterusan dan kenaikan paras air sungai ke tahap bahaya.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pitas, Asdie @ Mohd Faizal Hussin, menerusi satu notis rasmi.
“Berdasarkan laporan dan maklumat lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD, maka diisytiharkan bahawa bencana banjir telah berlaku di daerah Pitas.
“Pengisytiharan ini berkuat kuasa pada pukul 9.45 pagi, hari ini,” katanya dalam notis berkenaan, pada Khamis.








