
PUTRAJAYA – Salah faham yang berlaku dalam polemik 3R (agama, kaum dan institusi raja) dilihat lebih berat dan terarah kepada kaum Melayu atau parti politik Melayu, sedangkan ia disifatkan wujud dalam setiap kumpulan kaum di negara ini.
Pakar bahasa dan perpaduan, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, walaupun dakwaan kerajaan hanya menumpukan isu 3R terhadap bangsa Melayu sahaja disifatkan tidak tepat, namun timbul perspesi dari golongan itu apabila siasatan terperinci daripada pihak berkuasa dilihat bersikap prejudis kepada orang Melayu.
Sehubungan itu,beliau berpandangan, keperluan siasatan melibatkan sentimen agama dan kaum menjadi keutamaan pihak berkuasa dalam mengambil tindakan pantas kepada setiap kumpulan kaum bagi memastikan stigma budaya “dwi standard” dan “pilih bulu” hingga ada kalanya mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat Melayu dapat dihapuskan.
“Walaupun kerajaan kata perkara itu tidak betul namun mereka melihat wujudnya ketidakadilan daripada pihak berkuasa menangani sensitiviti isu 3R, kalau pesalahnya dari kalangan orang Melayu, persepsinya kerajaan pantas bertindak hukum Melayu berbanding kes kaum lain lambat. Sebagai contoh kes tiga penyampai radio Era hina agama Hindu cepat sahaja diambil tindakan berbanding Harith Iskander dan Cecilia Yap Song persenda Islam lambat diambil tindakan.
“Bagi saya kerajaan harus dilihat adil walaupun sudah bertindak secara adil, iaitu mereka bertindak tidak boleh lagi nampak wujudnya situasi berbeza, apabila orang Melayu cepat sahaja tindakan, tapi kaum lain lambat. Justeru, teliti kelompongan yang ada ni kerana isu ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Melayu tetapi memburukkan lagi hubungan etnik negara yang tidak begitu baik ketika ini,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Dalam pada itu, Kok Seong berpandangan, persepsi itu juga dilihat berupaya mampu mempengaruhi masyarakat secara meluas apabila pemipin tempatan serta wakil rakyat ‘menunggang’ sentimen terbabit dalam menarik hati pengundi masing-masing.
Jelasnya, sentimen 3R dalam politik wujud apabila kebanyakan parti politik mendakwa mereka mewakili suara dan perjuangkan setiap daripada kumpulan etnik yang ada.
“Saya kira ahli politik juga tidak terkecuali, kadang-kadang mereka bertindak sebagai batu api. Kita harus sedar, tindakan itu amat tidak bagus untuk Malaysia. Pertamanya, dalam hubungan etnik yang sudah memiliki jurang mampu menjadi lebih buruk selain imej Malaysia akan dilihat secara negatif oleh dunia luar bahawa kita tidak memiliki kestabilan.
“Polemik politik seperti sepatutnya tidak berlaku dan tidak dipratikkan dalam negara berbilang bangsa seperti Malaysia. Justeru, Jangan lagi bersikap seperti menahan lukah di pergentingan, mengambil kesempatan daripada isu yang dimainkan untuk berperanan sebagai penghasut,” katanya.
Kok Seong berkata, kepimpinan politik harus memiliki sifat seorang negarawan, dengan bersikap bijaksana dan mengenepikan sifat-sifat yang berimejkan ego, hasad-dengki serta tamak-haloba bagi memastikan tanggungjawab mereka untuk mewujudkan suasana harmoni di negara yang berbilang kaum selain mempertahankan perpaduan dapat dilaksana secara holistik.
“Mereka harus bertindak sebagai pendamai, bukan bersikap batu api selain berjiwa sebagai seorang Negarawan, di mana mereka menjadi pemimpin untuk negara tercinta dan tidak untuk kerjaya politik mahupun untuk parti mereka. Ahli politik harus melihat dengan lebih jauh kebaikan kepada negara, jangan lagi bersikap keutamaan kepada politik.
“Kita tahu pemimpin lebih gemar bermain politik untuk kepentingan diri sendiri dan juga parti mereka namun mereka juga harus menanam sikap bertanggungjawab untuk melakukan yang terbaik buat Malaysia tercinta. Inilah amanah yang perlu mereka laksana secara jujur dan tidak lagi mengejar hanya untuk millage politik,” katanya.




