
KOTA KINABALU – Wanita Pakatan Harapan (PH) memperuntukkan RM30,000 bagi menjalankan latihan-latihan dan bengkel untuk memperkasa peranan politik wanita.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Wanita Harapan Kebangsaan merangkap Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Aiman Athirah Sabu ketika merasmikan bengkel persediaan pilihan raya di sini, pada Jumaat.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmennya dalam memperkasa peranan wanita melalui inisiatif dan program yang memberi impak besar.
“Sebagai langkah awal, RM30,000 akan diperuntukan bagi latihan-latihan dan bengkel lanjutan yang fokus utama adalah pegukuhan kemahiran komunikasi dan debat bagi calon wanita serta jelajah ke kawasan pilihan raya.
“Ia bagi memperkukuh kehadiran wanita PH di lapangan serta memastikan calon wanita mendapat sokongan padu akar umbi,” katanya.

Aiman kemudian diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang ke Darau untuk menziarahi lima buah rumah terpilih untuk dibaiki di kawasan Darau.
Dalam lawatan sama, bakul makanan dan bantuan tunai Ramadan turut diberikan kepada keluarga terpilih.
Pada Sabtu, lawatan akan diteruskan ke kawasan Kapayan.






