
GOLONGAN nelayan di Pahang terus disantuni Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terbukti selepas seorang warga emas yang terjejas pendapatan kerana sudah berbulan-bulan tidak dapat mengail rezeki akibat keadaan laut bergelora, diberikan bantuan.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi memaklumkan, seorang nelayan Mohammad Kasim, 61, menerima sumbangan wang tunai yang disampaikan oleh Ahmad Farhan di rumahnya di Kampung Baru Cherating, Kuantan baru-baru ini.
“Laut yang dulu menjadi punca rezekinya kini seakan menutup peluang, menyebabkan pendapatannya merosot teruk.
“Namun saya hadir untuk cuba membawa sinar harapan. Dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pahang, rumahnya akan dibaik pulih agar lebih selesa buat hidup bersama keluarga tercinta,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya yang turut dikongsi Anwar.

Sehubungan itu, beliau berkata bantuan tersebut diharapkan akan menjadi semangat untuk warga emas itu dan keluarganya terus bangkit.
“Setiap ujian pasti ada hikmahnya. Hari ini mungkin getir, tapi esok Insya-Allah lebih baik. Semoga bantuan ini menjadi pemangkin untuk Encik Mohammad dan keluarganya terus bangkit,” katanya.
Pada Khamis, Ahmad Farhan turut dilaporkan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada nelayan Supian Saman, 39, di Kampung Darat Sungai Ular, Cherating, ketika mengunjungi rumahnya bersempena dengan Ziarah Madani.
Ahmad Farhan memaklumkan pihaknya dengan kerjasama ICU Pahang akan membantu membaik pulih rumah Supian yang serba daif dengan dinding semakin rapuh.
Malah, lebih menyayat hati, bumbung rumahnya juga seolah-olah tidak mampu menahan hujan lebat supaya lebih selesa dan selamat untuk didiami.






