
PUTRAJAYA – Malaysia komited memperkukuh kesepaduan menerusi ASEAN bagi mendepani cabaran keselamatan yang semakin rumit serta melangkaui sempadan negara yang memerlukan kesatuan teguh di kalangan negara anggota.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rantau Asia Tenggara ketika ini menghadapi ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional yang tidak boleh ditangani oleh sesebuah negara secara bersendirian.
“Dalam era dengan cabaran keselamatan semakin rumit dan merentasi sempadan negara, kesatuan ASEAN serta kerjasama serantau yang kukuh menjadi lebih penting berbanding sebelumnya.
“Justeru, kita perlu meningkatkan kapasiti kolektif untuk bertindak balas terhadap cabaran ini dengan lebih berkesan dan proaktif,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) 2025, di Batu Ferringhi, Pulau Pinang.
Mengulas lanjut,Mohamed Khaled berpandangan, perubahan kepimpinan, landskap geopolitik global dan kemajuan teknologi menuntut dialog berterusan dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi memastikan kestabilan serantau.
“ASEAN yang kuat dan bersatu akan lebih bersedia menghadapi landskap geopolitik yang semakin berkembang serta memastikan rantau ini kekal aman, berdaya tahan dan makmur,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan tema ADMM 2025 iaitu Kesepaduan ASEAN Demi Keselamatan dan Kemakmuran mencerminkan keyakinan terhadap keselamatan menjadi asas kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
“ASEAN yang benar-benar berdaya tahan mestilah inklusif dengan memastikan semua negara anggota dilengkapi secara sama rata untuk menangani ancaman keselamatan.
“Pada masa sama, strategi keselamatan kita mesti bersifat lestari, menggunakan pendekatan jangka panjang dan memandang ke hadapan dalam kerjasama pertahanan bagi mengekalkan kestabilan rantau ini untuk generasi akan datang,” katanya.
Terdahulu, The Malaysia Press (TMP) melaporkan ASEAN akan kekal rentan terhadap ancaman luar, khususnya dari kuasa-kuasa besar yang mempunyai kepentingan strategik di Asia Tenggara sekiranya masih berpegang kepada pendekatan berhati-hati (play safe) tanpa tindakan konkrit dan holistik.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, keselamatan ASEAN bergantung kepada keupayaan negara anggotanya untuk bertindak secara kolektif, bukan sekadar bergantung kepada diplomasi semata-mata.
Menurutnya, walaupun blok serantau itu menubuhkan platform seperti ADMM, pendekatan tersebut masih bersifat longgar dan tidak mengikat negara anggota untuk bertindak secara kolektif.


