TAMBUNAN – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menzahirkan penghargaan kepada penduduk setempat, orang awam dan pelbagai agensi yang terlibat dalam misi penyelamatan seorang wanita mengandung yang sedang dalam proses bersalin ketika kejadian tanah runtuh di Jalan Ranau-Tambunan, Kampung Pahu, Tambunan, pada Rabu.
Pengarahnya, Dr Maria Suleiman berkata, penghargaan itu dizahirkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), pasukan perubatan Hospital Tambunan, Hospital Keningau, Klinik Desa Tontolob serta orang awam dan penduduk kampung yang memberi bantuan dalam proses pemindahan.
“Kejayaan misi ini mencerminkan betapa pentingnya kerjasama antara agensi serta kesiapsiagaan pasukan kecemasan dalam menghadapi situasi luar jangka.
“Perkara ini juga menunjukkan kecekapan pasukan dalam mengadaptasi pelan tindak balas bencana demi memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.
Jelas Dr Maria, JKNS terus berkomitmen memastikan kesiapsiagaan dan keupayaan pasukan kesihatan negeri dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, kejadian tanah runtuh kira-kira pukul 7.26 pagi itu mengakibatkan jalan utama terputus, menghalang laluan ambulans dan kenderaan kecemasan ke lokasi kejadian.
Pasukan kesihatan dari Klinik Desa Tontolob, Liawan, Tambunan yang terletak berhampiran lokasi kejadian bertindak melakukan penilaian awal dan penstabilan pesakit.
“Pemeriksaan mendapati pesakit berada dalam fasa aktif proses kelahiran dan memerlukan pemindahan segera ke hospital.
“Susulan itu, pasukan retriever dari Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Tambunan telah dikerah ke lokasi kejadian dengan sebuah ambulans untuk
membantu pemindahan pesakit setelah mendapat panggilan dari IPD Tambunan,” katanya.
Menurut Dr Maria, disebabkan laluan utama terhalang, pasukan penyelamat kemudiannya mencari alternatif lain bagi memastikan pesakit dapat dipindahkan secepat mungkin.
“Dalam usaha ini, anggota IPD Tambunan dengan kerjasama penduduk kampung dan orang awam berjaya membantu memindahkan pesakit merentasi kawasan terjejas menggunakan laluan yang lebih selamat sebelum dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.
“Di Hospital Keningau, pesakit menjalani pembedahan kecemasan ‘Emergency lower segment caesarean section (LSCS)’ kerana mengalami tanda-tanda bayi lemas di dalam kandungan.
“Bagaimanapun, Ibu dan bayi berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan,” ujarnya.
Lelaki cedera ditumbuk ketika operasi penguatkuasaan di Lubuk Tambangan
BERA – Seorang lelaki cedera dipercayai ditumbuk individu tidak dikenali ketika operasi penguatkuasaan di kawasan Hutan Simpan Kekal Ramsar, dekat Tasik Bera, semalam. Kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari di…
Lebih lanjut






