
KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani tidak pernah menganaktirikan mana-mana permintaan kerajaan negeri di bawah pentadbiran pembangkang dan sentiasa memberi pertimbangan secara adil terhadap sebarang cadangan bagi menaik taraf sebarang pembangunan yang dikemukan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebagai contoh, projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu, Kelantan sedang giat dilaksanakan dengan kerja pembinaan membabitkan fasa pertama siap sepenuhnya 30 April 2024.
Menurutnya, projek naik taraf bagi fasa kedua sedang giat dijalankan ketika ini dan apabila ia siap sepenuhnya, kemudahan prasarana itu akan dapat menampung kapasiti sehingga 4 juta penumpang setiap tahun.
“Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri pada 2 Mei 2024, Kementerian Pengangkutan juga sedang meneliti skop teknikal dan anggaran kos bagi melaksanakan pemanjangan landasan di LTSIP dengan tambahan sebanyak 400 meter.
“Ini menjadikan keseluruhan landasan sejauh 2,800 meter,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagimenjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary yang mempersoalkan perancangan terperinci projek naik taraf LTSIP mengambil kira terdapat baki 400 ekar tanah yang diperuntukkan untuk pembangunan terbabit.

Sehubungan itu, Anthony menegaskan, pembangkang harus berhenti menyalahkan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya bekerjasama secara baik bagi merealisasikan projek naif taraf terbabit.
Sebagai contoh, jelasnya, projek pemanjangan landasan di LTSIP, ia dibuat atas permintaan Menteri Besar Kelantan sendiri ketika saya bertemunya di Kota Bharu tahun lalu.
“Saya yang panjangkan kepada Kabinet dan (Kabinet) bersetuju untuk melaksanakannya. Jadi sekarang (prosesnya) adalah rundingan harga sahaja. Memang kita akan panjangkan landasan supaya lebih banyak pesawat untuk terbang lebih jauh.
“Jadi janganlah semua perkara nak salahkan Kerajaan Persekutuan, sedangkan kerajaan negeri pun ada tanggungjawab. Misalnya, kalau nak jadikan Kota Bharu destinasi penerbangan pilihan, Exco Pelancongan buat pertemuan dengan wakil negara lain untuk pasarkan Kota Bharu (sebagai destinasi penerbangan).
“LTSIP tidak dikategorikan sebagai lapangan terbang antarabangsa, ia kini boleh mengendalikan operasi penerbangan antarabangsa berjadual dan tidak berjadual seperti lapangan terbang domestik di Kuantan dan Ipoh,” katanya.


