Menteri MIDE Sabah nafi dakwaan pengeksportan pasir silika tanpa kebenaran

KOTA KINABALU – Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial mengenai aktiviti pengeksportan pasir silika keluar dari negeri itu tanpa kebenaran.

Beliau berkata, baru-baru ini, penghantaran sejumlah 3,500 tan pasir silika dari Sikuati, Kudat ke Teluk Sepanggar telah menimbulkan salah faham dalam kalangan penduduk.

“Pengangkutan ini dilakukan melalui jeti menggunakan tongkang laut (dumb barge) pada 9 Disember 2024.

“Namun ia bukan untuk tujuan eksport ke luar negara, sebaliknya untuk dihantar ke kilang Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bagi pemprosesan kaca solar.

“Kami ingin memperjelaskan bahawa penghantaran ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membangunkan industri hiliran (downstream) di Sabah.

“Fokus kami adalah untuk memastikan sumber asli negeri ini diproses menjadi produk bernilai tinggi, seperti kaca solar, sebelum dieksport,” katanya.

Menurut Phoong, hanya satu aktiviti eksport pasir silika yang telah diluluskan, iaitu bagi tujuan ujian pengeluaran pada Julai dan Ogos 2023.

“Ia bertujuan untuk menilai kualiti pasir silika sebelum kilang pembuatan kaca solar di KKIP mula beroperasi sepenuhnya.

“Kami ingin menegaskan bahawa tidak ada pengeksportan pasir silika keluar dari Sabah tanpa kelulusan kerajaan.

“Tuduhan yang mengatakan sumber asli ini di eksport secara haram adalah tidak benar,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penyewaan Tanah Sabah Trade Centre di antara Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dengan POIC Trading Sdn Bhd, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi tujuan ujian pengeluaran pihak pelabur hanya memohon untuk mengeksport 5,000 tan pasir silika, namun jumlah sebenar yang telah di eksport ke China hanyalah 2,598.93 tan.

“Selepas kilang di KKIP mula beroperasi, semua pasir silika yang dikeluarkan akan digunakan sepenuhnya untuk pembuatan kaca solar.

“Dan tidak lagi dieksport ke luar negara, termasuk ke Semenanjung Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha Kerajaan Negeri memperkukuhkan sektor hiliran akan terus dipertingkatkan, termasuk mengembangkan industri pembuatan kaca solar kepada pengeluaran panel solar pada masa hadapan.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada aspirasi kerajaan negeri untuk membangunkan industri di Sabah.

“Dengan penjelasan ini, kementerian berharap masyarakat dapat memahami bahawa dakwaan mengenai pengeksportan pasir silika secara tidak sah adalah tidak berasas.

“Kerajaan akan terus komited memastikan sumber asli negeri ini digunakan secara bertanggungjawab demi manfaat rakyat dan ekonomi Sabah,” ujarnya.

Related Posts

JS-SEZ bukti keberkesanan dasar ekonomi MADANI

JOHOR BAHRU – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) disifatkan sebagai antara bukti keberkesanan pelaksanaan dasar ekonomi di bawah Kerajaan MADANI dalam merancakkan pertumbuhan pelaburan negara, khususnya di Johor. Ketua Setiausaha…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Isu jalan rizab BSI-Ranggu: Penduduk mahu laluan dibuka untuk kecemasan, urusan harian

TAWAU – Penduduk di sekitar kawasan Ranggu, di sini, mendesak agar jalan rizab (road reserve) yang ditutup menghubungkan Bandar Sri Indah (BSI)-Ranggu (PR1MA) dibuka semula bagi memastikan kelancaran akses kecemasan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar mahu rundingan PH-BN elak pertembungan di Johor

Anwar mahu rundingan PH-BN elak pertembungan di Johor

JS-SEZ bukti keberkesanan dasar ekonomi MADANI

JS-SEZ bukti keberkesanan dasar ekonomi MADANI

Isu jalan rizab BSI-Ranggu: Penduduk mahu laluan dibuka untuk kecemasan, urusan harian

Isu jalan rizab BSI-Ranggu: Penduduk mahu laluan dibuka untuk kecemasan, urusan harian

Anwar tegaskan PH akan pertahan semua kerusi pada PRN, PRU

Anwar tegaskan PH akan pertahan semua kerusi pada PRN, PRU

PH utamakan kestabilan politik, bukan perebutan kuasa – Anwar

PH utamakan kestabilan politik, bukan perebutan kuasa – Anwar

Kerajaan MADANI komited bela nasib rakyat tanpa kira musim – Anwar

Kerajaan MADANI komited bela nasib rakyat tanpa kira musim – Anwar