
TENOM – Seorang anggota bomba bantuan dan pemilik rumah antara yang cedera dalam kebakaran rumah yang berlaku di Kampung Sri Menanti 3, Jalan Mandalom, di sini, pada malam Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Penolong Penguasa Bomba, Mudi Pangiran berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian pada pukul 11.14 malam.
Katanya, mangsa Pegawai Bomba Bantuan (PBB), Mohd Syah Danyel Moktar, 23, terkena renjatan elektrik semasa bertugas dalam kejadian itu kini berada dalam keadaan stabil.
“Selepas kejadian itu, mangsa telah dihantar ke Hospital Tenom dengan menaiki utiliti Vigo bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Sebelum itu, 11 anggota bomba bersama tiga buah jentera penyelamat tiba di lokasi enam minit sejurus panggilan.
“Pasukan bomba mendapati seorang lagi mangsa lelaki merupakan pemilik rumah, cedera ringan di kaki selepas terkena paku.
“Mangsa yang belum dikenal pasti identitinya kemudian diberikan rawatan oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Mudi, kebakaran itu melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 40×60 kaki persegi, kereta dan empat buah motosikal yang kesemuanya terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran 300 kaki, empat pancutan sumber air dari jentera bomba.
“Pada pukul 12.15 tengah malam keadaan berjaya dikawal dan selepas pemeriksaan dijalankan tiada lagi bahaya dikenal pasti operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.04 pagi,” jelasnya.






