
PUTRAJAYA – Penetapan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 kepada pekerja swasta menjadi bukti bahawa kerajaan tidak pernah menganaktirikan pekerja di sektor ini malah kadar gaji minimum itu sentiasa disemak bagi memastikan ia setimpal, di samping kebajikan pekerja juga terpelihara.
Tinjauan The Malaysia Press mendapati, pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu bukan sahaja membantu dari segi kewangan pekerja namun ia juga dilihat memberi kelegaan kepada pekerja di sektor ini untuk memenuhi keperluan masing-masing seperti memiliki kenderaan sendiri, terutamanya bagi mereka yang telah sekian lama berada di sektor sokongan.
Menurut Arif Akmal, 22, yang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di Masjid Putra, walaupun belum menerima gaji dengan kadar minimum baharu yang dijangka pada akhir Februari, namun dia sudah merancang untuk menyimpan sebahagian daripada gaji yang diterima untuk membeli kereta pertamanya nanti.

“Gaji minimum RM1,700 itu memang meringankan beban pekerja seperti kami, lebihan gaji mungkin saya akan simpan untuk kahwin dan beli kereta serta buat tabungan masa hadapan sikit.
“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan gaji baharu tetapi kalau boleh naikkan lagi kepada RM1,800 itu lagi bagus dan saya harap nilai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja kumpulan sokongan seperti kami juga bertambah supaya pada masa sama, ada lah simpanan masa hadapan.
“Sebagai seorang perantau, saya tidak kisah sekiranya bebanan kerja semakin bertambah atas alasan gaji naik asalkan ia berbaloi memandangkan kos sara hidup di bandar juga agak tinggi,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press.
Bagaimanapun, menurut Arif Danial Anuarzam, 19, yang berkhidmat dalam sektor sama, kenaikan gaji sebanyak RM200 itu juga memberi peluang kepada dirinya untuk membalas balik jasa ibu bapa selain menabung untuk simpanan masa hadapan.

“Bagi saya, kadar kenaikan yang diberikan itu okey dan dapat mengembirakan hati kami yang terpaksa ‘berpanas dan berpeluh’ dalam mencari rezeki.
“Perancangannya untuk gaji itu nanti, saya akan simpan dan beri kepada ibu bapa saya, simpan sikit-sikit dan belanja apa yang mak ayah nak. Kalau ada lebihan, saya mahu simpan untuk beli kereta.
“Alhamdulillah, gaji minimum baharu itu cukup untuk menampung kos sara hidup di bandar tapi masih perlu berjimat. Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim naikkan gaji kami, tahun baru 2025 gaji baharu, lama menunggu gaji baharu,” katanya.
Turut sama berpuas hati dengan gaji baharu itu seorang pegawai operasi, Mohammad Nizam, 31, berkata, kenaikan gaji baharu itu telah ditunggu-tunggu dan ia merupakan kali pertama dirinya menerima kadar gaji baharu selepas 12 tahun berkhidmat dalam sektor swasta.

“Sebelum ini dah lama tidak naik gaji, bagi saya berpuas hatilah, kalau dikira setakat ini, cukup atau tidak itu bergantung ke atas individu masing-masing, kalau gaji banyak pun tapi tidak pandai mengurus, sudah pasti akan habis juga.
“Saya sentiasa menunggu gaji baharu dan alhamdulillah sekarang ia dapat direalisasikan semasa kerajaan sekarang (Kerajaan Perpaduan) malah selama 12 tahun bekerja, ini kali pertama saya terima gaji baharu.
“Bersyukur sangat, walaupun gaji naik hanya RM200 tetapi kerajaan juga ada berikan bantuan-bantuan lain kepada rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan lain-lain lagi. Semestinya satu inisiatif yang baik daripada kerajaan dalam memastikan rakyat sentiasa ada duit untuk makan,” katanya.
Menurut Nizam, penetapan kadar gaji baharu itu juga memberi sedikit kelegaan buat golongan yang sudah berumah tangga seperti dirinya dalam menanggung kos perbelanjaan harian.
“Bersyukur dan gembira. Insya-Allah ia cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga, yang penting yakin dengan rezeki Allah dan uruskan kewangan dengan baik.
“Kepada sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan suatu hari nanti, sentiasalah membantu dan melihat keadaan rakyat di bawah yang tengah susah. Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana peduli tentang kebajikan pekerja swasta seperti kami,” ujarnya.
Sementara itu, seorang tukang, Mohd Idham, 22, berkata, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 memberi suntikan semangat baharu buat golongan belia sepertinya untuk bekerja dengan lebih baik dan ikhlas selepas ini.

“Gaji baharu itu okey lah untuk orang muda dan keadaan ekonomi sekarang serta boleh dikatakan agak berpatutan dan setimpal dengan kerja yang kami lakukan. Bagi yang belum berkahwin seperti saya, lebihan gaji itu boleh digunakan untuk lengkapkan keperluan yang belum ada dan bahagiakan ibu bapa.
“Saya tiada masalah sekiranya gaji bertambah, kerja juga bertambah kerana bagi saya, sepatutnya dengan adanya penambahan gaji, pekerja perlu lebih bersemangat dan tekad untuk memberikan yang terbaik kepada industri sebagai timbal balik,” ujarnya.
Sebelum ini, dalam pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 kini berkuat kuasa 1 Februari 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
“Kerajaan Madani sentiasa menitikberatkan soal pendapatan rakyat. Penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.
“Untuk itu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2025.


