gambar ihsan bomba
SEORANG remaja maut manakala adiknya masih hilang dalam kejadian lemas di sungai Kampung Kubang Telaga, dekat Bachok, Kelantan, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa, Muhammad Amirul Mukmin, 17, meninggal dunia selepas cuba menyelamatkan adiknya, Muhammad Asadullah Zehan, 11, yang terjatuh di dalam lubang ketika berada di atas sebuah titi di sungai itu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian jam 6.45 petang.
Katanya, menurut laporan awal, kedua beradik itu ke sungai berkenaan bertiga iaitu dengan seorang rakan, Ahmad Faezie Ikram Fauzi, 17 untuk memancing.
“Saksi (Ahmad Faezie) memaklumkan kejadian berlaku selepas 15 minit mereka bertiga memancing, adik kepada mangsa (Muhammad Asadullah) tergelincir, masuk ke lubang dan terjatuh dalam sungai lalu abangnya terus terjun untuk menyelamatkan adiknya.
“Saksi kemudian pergi meminta tolong penduduk kampung dan memaklumkan kejadian kepada keluarga kedua beradik itu,” katanya ketika ditemui Berita Harian di lokasi kejadian, di sini, malam tadi.
Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat digerakkan dan berjaya menemui Muhammad Amirul pada jam 8.15 malam.
“Mangsa ditemui dalam jarak 20 meter dari lokasi mereka dilaporkan jatuh,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk bedah siasat.

