
PUTRAJAYA – Kerajaan disaran menubuhkan suruhanjaya bebas dalam menyelesaikan kemelut tidak berkesudahan industri padi dan beras di Malaysia, yang merupakan tulang belakang kepada kelestarian dan kedaulatan makanan negara.
Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Norysharin Hamidon berkata, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), selaku pemegang amanah industri telah gagal melaksanakan fungsi-fungsi mereka.
Beliau berpandangan, fungsi dan peranan asal Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) boleh dikembalikan bersandarkan kejayaan yang pernah dikecapi, namun harus menyerahkan kepada kebijaksanaan suruhanjaya itu dalam membuat keputusan berlandaskan musyawarah.
“Sehingga hari ini tiada sebarang perubahan sistemik mahupun struktural yang berupaya mengurangkan kebergantungan negara kepada beras
asing, belum mampu meningkatkan taraf hidup 200,000 pesawah, atau berjaya
meneruskan kelangsungan pengilang Melayu yang hampir pupus.
“Masalah yang sama tetap dilaungkan dan kemudiannya cuba dipendamkan, iaitu kegiatan monopoli oleh pengilang
besar dan orang tengah; ketirisan dalam pengagihan bantuan dan subsidi, serta amalan rasuah dan ketidakcekapan oleh pihak pengurusan dan kawal selia padi,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Mengulas lanjut, Norysharin berkata, suruhanjaya itu haruslah mencari penyelesaian konkrit dalam menangani peningkatan kos penghasilan padi yang amat ketara dan tidak seimbang dengan
pendapatan pesawah yang ketika ini
di bawah paras kemiskinan tegar, sekitar RM700 hingga RM1,200 sebulan.
Jelasnya, cadangan harga beras baharu bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran padi memandangkan harga kawalan beras tempatan pada RM2.60/kg sejak 2014 dilihat tidak munasabah, selain menuntut harga belian padi yang lebih adil.
“Suruhanjaya bebas itu harus membendung kenaikan harga barang dan
perkhidmatan oleh pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan. Gesaan agar agensi sokongan padi beras termasuklah pertubuhan peladang kawasan tidak lagi disalah guna, atau bersekongkol.
“Pesawah akan ditekan bagi menurunkan harga belian di kilang konon bertujuan menyelesaikan polemik ketiadaan beras tempatan, atau memaksa pesawah kecil melepaskan hak mereka demi menguasai bendang berskala besar,” katanya.
Dalam pada itu, Norysharin menjelaskan
usaha bagi mengekang monopoli dan sabotaj oleh kilang besar di samping menjamin pengeluaran benih berkualiti dan mencukupi mesti dipercepatkan selain mencari ikhtiar sistematik menggunakan beras tempatan sebagai Beras Stokpail Negara demi mengurangkan kadar import beras.
“Keperluan meningkatkan kecekapan pengurusan dan produktiviti melalui kajian perkembangan hasil seperti kadar pemutuan padi lebih fleksibel dan mengoptimumkan operasi tanpa
perlu menggadai ratusan ribu hektar bendang warisan yang telah diusahakan merentas generasi.
“Begitu juga ikhtiar meningkatkan produktiviti pengeluaran khususnya di luar jelapang daripada 2.53 tan/hektar yang baru menyumbang 35 peratus daripada pengeluaran padi negara,” katanya.

Sementara itu, Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol menyatakan bahawa harga RM26 untuk kampit 10kg beras yang ditetapkan pada tahun 2008 perlu disemak semula kerana kos pengeluaran semakin meningkat.
Tegasnya, kajian yang lebih mendalam perlu dilakukan serta alternatif lain perlu dicari bagi memastikan ia tidak membebankan pesawah dan rakyat.
“Dalam pada masa yang sama, bahang mengenai ketidakpuasan hati dengan harga jualan padi yang dibangkitkan oleh para pesawah perlu diambil perhatian.
“Perkara ini telah mendapat perhatian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan mencadangkan akan mewujudkan beras campuran di antara beras tempatan dan beras import sebagai solusi kepada kehendak para petani di Pulau Pinang.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyokong penuh cadangan menteri untuk mengkaji jualan beras campuran tempatan dan import seterusnya membentangkan kepada Perdana Menteri,” katanya.






