KUCHING – Penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Sarawak boleh membuat pembelian barangan melalui MyKad secara bulanan bermula 15 Januari.
Menurut Pegawai Kewangan Persekutuan Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Leonard Wilfred Yussin, penerima bantuan SARA boleh membuat pembelian menerusi kedai rakan MySara yang terpilih di Sarawak.
“Penerima SARA dapat membuat pembelian barangan yang mempunyai label Sumbangan Asas Malaysia Madani tidak melebihi RM100 untuk satu bulan,” jelas Leonard.
Bagaimanapun, kata Leonard, pembelian tersebut tidak termasuk ubat-ubatan di farmasi.
“Walaupun pembelian ubat-ubatan di farmasi tidak termasuk, tetapi penerima SARA boleh membeli ubat generik seperti ubat Panadol,” ujar Leonard.
Leonard turut menyeru mana-mana kedai runcit atau syarikat berminat untuk berhubung dengan pihak SARA.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pelaksanaan Live-Run Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Tahun 2025 di Emart Kota Samarahan pada Isnin.

Sementara itu, Abdul Rahman Ali, 58, penerima bantuan SARA sangat bersyukur atas bantuan yang diterima.
“Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menyediakan inisiatif yang banyak memberi manfaat kepada rakyat,” kata Abdul Rahman.
Abdul Rahman memberitahu beliau sudah memohon bantuan SARA sejak tahun lepas dan menerima notifikasi mesej WhatsApp berkenaan bantuan tersebut.
“Bantuan SARA dapat meringankan beban saya walaupun tidak banyak,” ujar Abdul Rahman.

Malena Malak, 40, merupakan peniaga kecil berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana dapat meringankan beban belanja harian.
Selain itu, Malena berkata, pembelian melalui MyKad sangat memudahkan tanpa memerlukan apa-apa bantuan lain.
“Saya hanya perlu menunjukkan kad pengenalan di kaunter dan seterusnya proses pembayaran sudah pun selesai,” kata Malena lagi.

Saji Pawi, 55, sangat berterima kasih kepada pihak kerajaan yang meringankan beban golongan miskin tegar.
“Walaupun bantuan RM100 sebulan, tetapi cukuplah untuk kami sekeluarga bagi memenuhi keperluan harian,” kata Saji lagi.
Bantuan SARA yang disalurkan melalui penggunaan MyKad diperluaskan ke Sabah dan Sarawak berbanding tahun lepas hanya di Semenanjung Malaysia.
Kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar dalam rekod e-Kasih bakal menerima RM2,100 pada 2025.
Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikredit dalam MyKad penerima SARA dari Januari hingga Mac 2025.
Mulai April 2025, kadar bantuan akan ditingkatkan pada RM200 untuk satu bulan.
Penyaluran SARA kepada MyKad penerima secara bersasar kerana mahu memastikan golongan miskin menerima manfaat barangan asas seperti makanan.
Kerajaan Madani akan terus komited menggunakan teknologi digital bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan dengan kaedah yang mudah difahami dan digunakan oleh rakyat.



