KEM badminton negara menerusi gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meraih gelaran pertama musim ini dengan menjuarai Terbuka India malam tadi.
Kejayaan itu hadir setelah mereka menumpaskan Kim Won-ho dan Seo Seung-jae dari Korea Selatan dalam aksi final di New Delhi.
Dalam aksi berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi, Sze Fei-Nur Izzuddin bermula dengan langkah kanan apabila menang 21-15 pada set pertama.
Pada set kedua, beberapa kesilapan pasangan negara membuka ruang buat juara Terbuka Malaysia 2025 untuk menang 21-13 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Sze Fei-Nur Izzuddin memperkemaskan corak permainan mereka sebelum mengesahkan kemenangan 21-16 dalam tempoh 53 minit pada kejohanan berstatus Super 750 itu.
Menerusi kemenangan berkenaan, Sze Fei-Nur Izzuddin yang menjuarai Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik pada musim lalu membawa pulang AS$70,300 (RM316,653).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu hantaran di media sosialnya turut merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan beregu profesional negara itu.
“Kemenangan ini bukan sahaja membanggakan Malaysia, tetapi juga membuktikan ketabahan dan semangat juang yang luar biasa. Teruskan momentum ini untuk mencipta lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa tahun ini.
“Well done, boys. Keep it up!,” katanya.







