
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu mempergiatkan pemeriksaan berkala terhadap institusi dan premis yang menawarkan perkhidmatan makanan halal bagi memastikan pembekal serta penyedia mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, pemantauan terhadap status sijil halal perlu dilakukan secara menyeluruh, termasuklah di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurutnya, pihaknya menekankan perlunya usaha yang lebih holistik dan tegas dalam memperkukuh sistem pemantauan serta penguatkuasaan halal di Malaysia dalam memastikan isu berkaitan status halal yang timbul baru-baru ini di KK Mart di Universiti Malaya (UM), tidak berlaku pada masa akan datang.
“DPMM mencadangkan agar hukuman denda terhadap mana-mana pihak yang
melanggar peraturan halal dinaikkan. Hukuman lebih berat diharapkan dapat menjadi langkah pencegahan kepada pihak yang mengambil ringan aspek pematuhan halal.
“Sebagai sebuah negara yang menjadi rujukan utama dunia dalam pensijilan
halal, insiden seperti ini boleh memberi kesan negatif kepada keyakinan masyarakat dan reputasi sistem halal Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Mengulas lanjut, Norsyahrin memaklumkan pihaknya menyakini Malaysia dapat terus mempertahankan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam pensijilan halal menerusi kerjasama erat antara kerajaan, komuniti perniagaan, dan masyarakat umum.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak memainkan peranan aktif dalam memastikan sistem halal negara terus unggul dan dihormati di peringkat global demi kesejahteraan masyarakat serta kestabilan ekonomi negara.
“Reputasi dan integriti ini perlu dipertahankan demi memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Melalui insiatif Gerakan Ekoniaga Madani (GEMA) yang diperkenalkan DPMM, ia boleh menjadi saluran untuk menyampaikan maklum balas dan
memperbaiki sistem pemantauan halal secara berterusan.
“Pada masa sama, pelaksanaan kempen kesedaran halal di peringkat domestik dan antarabangsa perlu dilakukan bagi mendidik masyarakat tentang standard halal, kepentingannya dan cara mengenali produk halal yang sah,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) , Armin Baniaz Pahamin senada dengan DPMM bahawa keperluan untuk diambil tindakan tegas dengan mempertimbangkan sekatan lesen perniagaan, selain mengenakan hukuman maksimum terhadap KK Mart dan pembekal sandwic yang terbabit dalam penyalahgunaan logo halal palsu.

“Kedua-dua pihak mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas salah guna logo halal yang bukan saja melanggar undang-undang tetapi juga mencabuli kepercayaan pengguna Islam. Bagi mengelakkan penyalahgunaan logo halal palsu daripada terus berleluasa di Malaysia, tindakan tegas perlu diambil.
“Ini sebagai pengajaran kepada penjual dan pembekal, malah pihak berkuasa boleh mempertimbang untuk mengenakan sekatan lesen perniagaan bagi pihak yang terbabit. Hukuman yang ringan tidak akan dapat memberi kesan pencegahan kepada industri dan hanya mempermainkan peruntukan undang-undang,” katanya.
Armin berkata, sebagai sebuah negara Islam serta sejajar aspirasi Malaysia sebagai hab pengeluaran produk halal global, kredibiliti logo halal yang dipamerkan pada produk makanan tidak boleh dipermainkan.
“Kepercayaan pengguna terhadap logo halal adalah tulang belakang kepada ekonomi halal negara dan masyarakat perlu yakin bahawa mana-mana produk yang mempamerkan logo halal adalah sah dan mematuhi standard tertinggi tanpa was-was.
“Kami menyeru pihak berkuasa untuk bertindak segera, telus dan tegas demi melindungi hak pengguna, memelihara integriti pensijilan halal, serta memastikan keharmonian agama di Malaysia terus terpelihara,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan UM menutup serta-merta dua premis kedai serbaneka dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwic diragui status halal, bagi memberi ruang siasatan dilaksanakan tanpa gangguan.
Jakim juga mengesahkan produk ‘sandwich ham & cheese’ yang dijual di premis di universiti itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.







