
TAMBUNAN – Tiga cedera parah, dua cedera ringan akibat kereta dinaiki terbabas jatuh gaung di Kampung (Kg) Tonop, Jalan Tambunan-Ranau di sini pada Isnin.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Penolong Penguasa Bomba Mitchell Francis George, mangsa cedera parah merupakan perempuan berusia 55 dan 35 tahun serta lelaki berusia 21 tahun manakala dua lelaki 17 tahun cedera ringan.
“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Toyota Hilux terbabas sendiri terjatuh ke dalam gaung sedalam 40 meter.
“Terdapat lima orang mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.
“Pasukan Unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) Bomba memberi rawatan awal seterusnya mangsa dihantar ke Hospital Tambunan untuk menerima rawatan susulan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, tiada operasi menyelamat dilakukan hanya memberi rawatan awal dan mengambil maklumat di lokasi kejadian.
Operasi ditamatkan pada pada pukul 1.13 petang setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud.




