
MALAYSIA dan Jepun seiring dalam memperkukuh kerjasama dalam pendidikan untuk meningkatkan hubungan dua hala dan mewujudkan perkongsian strategik yang lebih komprehensif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa inisiatif telah dibincangkan dengan rakan sejawatatnya, Shigeru Ishiba, dalam bidang ini, termasuk penubuhan kampus cawangan Tsukuba University di Malaysia.
Kerjasama lain termasuk perkongsian antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Waseda University serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Japan International Institute of Technology (JIIT).
“Keio University ialah institusi penting. Di situlah Ishiba belajar, dan saya mempunyai hubungan yang baik dengan mereka.
“Oleh itu, saya telah meminta beliau untuk memastikan Keio University terlibat dalam beberapa program kami, termasuk dialog peradaban, kerana terdapat minat yang mendalam untuk memupuk interaksi antara Islam dan Taoisme,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ishiba semasa lawatan rasmi Ishiba ke Malaysia hari ini.
Sebelum itu, Anwar dan Ishiba serta delegasi mereka mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan perkembangan hubungan kedua-dua negara.
Anwar juga berterima kasih kepada Ishiba dan delegasinya kerana memilih Malaysia sebagai negara pertama yang dilawati.
“Ini menunjukkan betapa seriusnya beliau memandang Malaysia dan kerjasama dalam pelbagai isu untuk mengukuhkan hubungan dua hala kami menjadi perkongsian strategik yang komprehensif.
“Ini termasuk perdagangan dan pelaburan, yang menjadi keutamaan bagi kedua-dua negara,” ujarnya.






