
ALOR SETAR – Ibu bapa di sekitar bandar raya Alor Setar kini kecewa dengan pihak penganjur yang mengadakan permainan berunsurkan perjudian di Stadium Darul Aman sejak dua minggu lalu.
Ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka terkejut dengan beberapa permainan yang diadakan oleh pihak penganjur.
Menurut Osman Mohammad, 49, pada mulanya dia membawa anak-anaknya untuk bergembira sempena cuti sekolah ini dengan menaiki beberapa permainan seperti kuda, kapal dan sebagainya.
Katanya, apabila sampai dia sangat terkejut dengan beberapa tapak permainan yang berunsurkan perjudian kini turut diadakan malah turut mendapat sambutan.
“Memang permainan itu mencabar kemahiran individu tetapi ia lebih kepada unsur perjudian. Sepatutnya pihak penganjur perlu peka supaya permainan seperti itu tidak patut diadakan kerana bimbang akan menanam semangat untuk bertaruh dalam perlawanan.
“”Apabila permainan itu semakin diminati sudah pasti ramai yang akan datang ke Fun Fair itu dan fokus mereka adalah untuk berjudi. Kita tidak mahu masalah itu berlaku pada anak muda sekarang ini yang boleh membawa mudarat pada masa akan datang,” katanya.
Tambahnya lagi, walaupun hadiahnya yang ditawarkan tidaklah mahal tetapi sekiranya dibenarkan lagi pada masa akan datang sudah pasti hadiah akan bertambah lumayan.
Haris Fadzilah Ismail, 68, juga turut terkejut dengan Fun Fair yang berjalan selama sebulan itu turut diadakan beberapa tapak yang berunsur perjudian.
Katanya, sepatutnya Kerajaan Kedah di bawah Pas yang melaungkan kepimpinan Islam perlu peka permainan sedemikian.
“Permainan yang berunsur perjudian ini sudah lama ‘dimatikan’ di Kedah sejak 1980-an lagi apabila Pas dahulunya membantah permainan itu kepada hiburan masyarakat di negeri ini. Dahulunya di kenali dengan nama Pesta Kedah sering diadakan selama sebulan tetapi banyak permainannya berunsurkan perjudian.
“Selepas bantahan mula diterima oleh kerajaan pada masa itu tetapi pada hari ini kepimpinan Islam Pas sendiri pula yang menyemai semula unsur-unsur perjudian dalam hiburan di negeri ini.
“Adalah sangat memalukan sekiranya kerajaan hari ini gagal menghentikan permainan yang berunsur perjudian ini diteruskan sudah pasti ia akan berulang seperti zaman dahulu semula.
“Saya yakin sekiranya kerajaan hari ini gagal untuk menghentikan permainan perjudian itu, sudah pasti bilangan tapak perjudian pasti akan bertambah bagi menarik lebih ramai lagi penduduk di Kedah ini datang untuk bergembira di situ,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan hari ini perlu bijak untuk memeriahkan bandar raya ini terutamanya pada waktu malam yang dikatakan seperti bandar raya usang selama ini.
“Cukuplah dengan permainan berunsur judi yang pernah diadakan dahulu dan hari ini kita perlu mendidik generasi muda supaya bebas dari mainan berunsurkan perjudian,” katanya.



