
DARO – Penyediaan enam unit tangki air yang dilengkapkan pada 15 November lalu sedikit sebanyak berjaya mengurangkan bebanan penduduk di kawasan ini yang berdepan isu gangguan bekalan air bersih.
Penyandang DUN Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, langkah segera berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam memastikan keperluan asas masyarakat luar bandar sentiasa diberi perhatian.
Menurutnya, selain menangani isu bekalan air, aspek capaian telekomunikasi termasuk perluasan liputan rangkaian 5G di sekitar Daro turut diberikan tumpuan utama.
“Bagi kemudahan telekomunikasi, isu liputan rangkaian termasuk kemudahan 5G di kawasan Daro sedang giat diusahakan bersama agensi dan pihak berkaitan bagi memastikan penduduk menikmati akses internet yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tebaang di Masjid Al-Umran, di sini pada Jumaat yang turut dihadiri Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Safiee yang kini sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N43 Daro pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 menambah, kerjasama padu antara pemimpin, agensi pelaksana, dan kepimpinan akar umbi amat penting bagi memastikan setiap keperluan infrastruktur serta kebajikan masyarakat setempat ditangani secara berperingkat dan berkesan.



