![[TB]_Anwar Ibrahim Min Aung Hlaing 3_BERNAMA](https://themalaysiapress.com/wp-content/uploads/2026/11/TB_Anwar-Ibrahim-Min-Aung-Hlaing-3_BERNAMA.jpg)
PUTRAJAYA – Keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) yang mendapati Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya tidak menjadikan keputusan menjemput Ketua Junta negara tersebut ke Malaysia bercanggah dengan prinsip kemanusiaan dan keadilan.
Penganalisis Keselamatan, Hubungan Antarabangsa dan Sosiopolitik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, penglibatan diplomatik merupakan sebahagian instrumen dasar luar sesebuah negara yang kadangkala rundingan perlu dilaksanakan dengan pihak yang mempunyai kuasa politik atau kawalan terhadap sesuatu konflik bagi mencari penyelesaian.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan boleh difahami melalui konsep diplomasi pragmatik (pragmatic diplomacy), iaitu penggunaan saluran rundingan untuk mencapai kepentingan strategik dan menyelesaikan konflik.
“Perlu dibezakan antara penglibatan diplomatik dengan pemberian legitimasi politik. Malaysia boleh mengekalkan saluran komunikasi dengan kepimpinan Myanmar tanpa bermaksud menyokong atau mengiktiraf tindakan kerajaan tersebut. Namun risikonya, kemungkinan penglibatan itu dimanfaat pihak tertentu.
“Ia untuk membina imej penerimaan atau legitimasi antarabangsa tanpa melakukan perubahan substantif terhadap dasar dan tindakan mereka. Dalam keadaan itu, diplomasi pragmatik boleh menimbulkan percanggahan antara kepentingan strategik negara dengan prinsip moral dan kemanusiaan diperjuangkan.
“Justeru, sebarang jemputan diplomatik perlu disertai agenda jelas, termasuk tuntutan perlindungan etnik Rohingya, akses bantuan kemanusiaan, penyelesaian isu kewarganegaraan dan jaminan kepulangan pelarian secara selamat.
“Tanpa syarat jelas, penglibatan diplomatik berisiko menjadi sekadar simbol hubungan baik antara kerajaan tanpa memberikan manfaat yang nyata kepada golongan terjejas,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Dalam pada itu, Nur Ashikin berpandangan, keputusan ICJ perlu menjadi pemangkin kepada penilaian semula pendekatan diplomatik Malaysia terhadap Myanmar agar sebarang hubungan atau pertemuan diplomatik tidak dilihat sebagai usaha menormalisasikan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
Katanya, Malaysia perlu beralih daripada diplomasi yang terlalu bergantung pada rundingan kepada pendekatan menggabungkan penglibatan strategik, tekanan antarabangsa dan tuntutan akauntabiliti demi memastikan prinsip kemanusiaan dan keadilan tidak hanya menjadi sebahagian daripada retorik dasar luar, tetapi diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan.

“Pendekatan yang lebih relevan ialah mengekalkan penglibatan diplomatik dengan menetapkan syarat, tuntutan dan mekanisme pemantauan yang boleh dinilai keberkesanannya, itu membolehkan Malaysia mengekalkan ruang rundingan tanpa mengetepikan prinsip akauntabiliti dan keadilan.
“Malaysia tidak semestinya perlu memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar kerana tindakan itu berpotensi mengehadkan ruang pengaruh dan rundingan. Sebaliknya, Malaysia perlu mengamalkan diplomasi yang lebih bersyarat dengan menetapkan tuntutan yang jelas berkaitan perlindungan etnik Rohingya, akses kemanusiaan, keselamatan pelarian dan akauntabiliti,” katanya.
Dalam konteks ASEAN, Nur Ashikin berkata, Malaysia perlu berani membincangkan keterbatasan prinsip tidak campur tangan apabila sesuatu krisis domestik memberikan kesan nyata pada keselamatan negara anggota lain selain tidak menjadi alasan mengelak tanggungjawab kolektif terhadap isu kemanusiaan yang mempunyai implikasi rentas sempadan.
“Sekiranya ASEAN terlalu menekankan konsensus dan prinsip tidak campur tangan sehingga gagal menghasilkan tindak balas yang berkesan, organisasi tersebut berisiko dilihat sebagai institusi yang mempunyai keterbatasan dalam menangani krisis keselamatan serantau. Keadaan ini boleh menjejaskan kredibiliti ASEAN sebagai organisasi yang berperanan memelihara keamanan dan kestabilan Asia Tenggara.
“Oleh itu, Malaysia perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menggalakkan diplomasi yang berorientasikan penyelesaian, termasuk memperkukuh mekanisme pemantauan, kerjasama kemanusiaan dan usaha diplomatik bersama negara anggota. Malaysia perlu menggalakkan pendekatan ASEAN yang lebih responsif terhadap krisis kemanusiaan tanpa mengetepikan prinsip kedaulatan negara anggota,” katanya.
Tambahnya, Malaysia juga harus berperanan tegas bahawa proses kepulangan pelarian ke Myanmar mestilah dilaksanakan secara sukarela, selamat dan bermaruah, dengan jaminan keselamatan, perlindungan hak asasi manusia serta penyelesaian terhadap persoalan kewarganegaraan.
“Tanpa jaminan tersebut, usaha penghantaran pulang hanya berisiko memindahkan semula mangsa ke kawasan yang masih mempunyai ancaman keselamatan. Dari perspektif keselamatan manusia (human security), perlindungan individu perlu menjadi sebahagian daripada pertimbangan utama dasar keselamatan negara.
“Malaysia juga perlu memastikan bahawa pengurusan pelarian dilaksanakan secara teratur dengan mengambil kira kemampuan negara dan tanggungjawab kemanusiaan. Pada masa yang sama, usaha menangani krisis ini perlu memberikan perhatian kepada punca asas konflik, termasuk diskriminasi sistemik, penafian kewarganegaraan dan ketidakjaminan keselamatan komuniti Rohingya,” katanya.



