
SIMANGGANG – Wilson Entebang mengumumkan keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Simanggang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, namun menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kerajaan Sarawak.
Dalam kenyataan media pada Jumaat, beliau berkata keputusan itu dibuat selepas namanya tidak terpilih sebagai calon GPS bagi kerusi berkenaan, meskipun telah sekian lama berusaha membawa perjuangan parti ke peringkat akar umbi.
Menurutnya, sokongan dan rayuan daripada penyokong akar umbi serta masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, menjadi antara faktor yang mendorongnya meneruskan perjuangan politik melalui laluan sebagai calon Bebas.
“Saya ingin menjelaskan bahawa keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas bukan bermaksud saya menentang GPS, apatah lagi memilih jalan sebagai pembangkang kepada kerajaan Sarawak.
“Saya tetap menghormati keputusan parti dan berharap hubungan serta kerjasama yang baik dengan GPS dan kerajaan Sarawak dapat diteruskan demi kepentingan masyarakat Simanggang,” katanya.
Wilson turut berharap kepimpinan GPS dapat menilai segala usaha, komitmen dan sumbangan yang telah diberikan selama ini dalam membawa perjuangan parti ke peringkat akar umbi.
Katanya, perbezaan laluan dalam pilihan raya tidak seharusnya menutup ruang untuk terus bekerjasama demi pembangunan dan masa depan Simanggang.
“Saya mempunyai seribu satu sebab untuk berhenti, tetapi masyarakat telah memberikan saya satu sebab yang cukup kuat untuk terus melangkah.
“Mungkin saya tidak terpilih sebagai calon parti, tetapi saya tidak mahu berpaling daripada mereka yang masih percaya dan mengharapkan saya,” katanya.
Beliau menegaskan perjuangan untuk berkhidmat kepada masyarakat akan diteruskan berlandaskan amanah dan kepercayaan rakyat.
Wilson turut berharap kerjasama dengan GPS dan kerajaan Sarawak dapat dikekalkan demi kepentingan penduduk Simanggang.



