
KUCHING – Kesemua 82 pusat penamaan calon di seluruh Sarawak kini bersedia sepenuhnya untuk menerima kehadiran bakal calon bermula pukul 9 pagi hingga ditutup pada pukul 10 pagi esok sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, kesiapsiagaan itu disahkan selepas pihaknya meninjau pusat penamaan calon bagi DUN Samariang serta menjalankan simulasi masa sebenar pagi tadi yang berjalan lancar.
Tinjauan pada Jumaat itu diadakan sempena lawatan persiapan SPR bagi urusan Hari Penamaan Calon PRU DUN Sarawak ke-13 di Pusat Penamaan Calon N.07 Samariang, Dewan Serbaguna Taman Sukma, Kuching.
Sehubungan itu, Ramlan menyeru bakal calon supaya membuat semakan awal borang pencalonan dengan Pegawai Pengurus masing-masing atau di Pejabat SPR di Kuching, selain hadir seawal mungkin esok memandangkan tempoh penyerahan borang hanya dibuka selama satu jam.
Beliau turut memohon kerjasama semua parti politik serta pihak berkaitan supaya mematuhi segala peraturan dan arahan SPR serta pihak berkuasa bagi memastikan proses penamaan calon esok berjalan dengan aman, tertib dan tidak mengganggu ketenteraman awam.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 721 borang penamaan calon telah dijual kepada parti politik dan individu yang berminat bertanding sehingga malam tadi, dengan 40 daripadanya telah selesai membayar deposit.
Bagaimanapun, katanya, SPR tidak mempunyai pecahan khusus jumlah pembelian borang mengikut parti politik mahupun calon bebas, serta belum mempunyai angka bilangan kawasan DUN yang hanya merekodkan jualan satu borang setakat ini.
Mengulas persoalan mengenai kemungkinan sesebuah parti sudah memenangi kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan pada hari penamaan calon esok, beliau menjelaskan perkara itu telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan masih dalam semakan.
“Ada peraturan-peraturan berkaitan yang kita perlu patuhi. Kalau berdasarkan kepada peraturan sedia ada, kita kena lihat mana semua proses pilihan raya ini terpaksa juga dijalankan, mesti dijalankan dan sebarang pengumuman akan dibuat selepas itu,” katanya sambil memaklumkan sebarang perkembangan lanjut akan diberitahu selepas mendapat pengesahan pihak berkaitan.
Bagi mana-mana kawasan DUN yang hanya menerima seorang calon tunggal apabila tempoh penamaan ditutup esok, beliau mengesahkan keputusan kerusi tersebut tetap akan diisytiharkan.
“Ya, kita akan umumkan untuk menang tanpa bertanding,” katanya.
Menyentuh aspek logistik pengundian, Ramlan berkata penghantaran peti undi ke kawasan pedalaman termasuk di Baram akan dimulakan pada Rabu ini.
Ditanya mengenai jangkaan peratusan keluar mengundi, beliau berkata SPR hanya akan membuat unjuran rasmi selepas selesai proses penamaan calon esok kerana kedudukan pertandingan bakal memberi kesan besar terhadap kadar kehadiran pengundi.



