
TAWAU – Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong tampil membuat laporan polis berhubung tindakan pereka grafik, Fahmi Reza yang didakwa menghina Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah melalui karikatur.
Pemuda PGRS DUN Sri Tanjong berkata, laporan polis itu dibuat atas dasar mempertahankan martabat institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah yang menjadi simbol kedaulatan negeri serta perpaduan rakyat Sabah.
“Kami memandang serius tindakan tersebut, yang dianggap melampaui batas dan tidak menghormati kedudukan serta peranan TYT sebagai Ketua Negeri.
“Kita percaya bahawa kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan untuk tujuan menghina atau mencemarkan nama baik mana-mana pihak, lebih-lebih lagi institusi penting negeri seperti TYT,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.
Sehubungan itu, Pemuda PGRS Sri Tanjong menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan segera terhadap perkara itu dan mengambil tindakan tegas sekiranya didapati melanggar undang-undang.
“Kami juga menyeru rakyat Sabah untuk bersama-sama mempertahankan keharmonian negeri dengan menolak tindakan provokatif yang boleh mencetuskan perpecahan atau ketegangan.
“Hormatilah prinsip undang-undang dan sensitiviti masyarakat kita,” katanya.
Jelas kenyataan itu, Pemuda PGRS komited untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah dan mempertahankan kedaulatan negeri dari sebarang cubaan mencemar institusi-institusi utama di Sabah.
Terdahulu, Ketua Pemuda PGRS DUN Pantai Manis, Mohd Shahyusry Mohidin dalam satu kenyataan medianya juga menyatakan turut tampil membuat laporan polis di Balai Polis Papar pukul 1.45 petang berhubung tindakan Fahmi Reza.



