
KOTA KINABALU – Daripada resipi turun temurun yang sering dibuat oleh ibu bapanya, kini bahulu Inak Yong menjadi perniagaan yang mendapat permintaan ramai.
Aisyah Labai, 45, pengusaha perniagaan makanan Inak Yong berkata, bahulu adalah antara kuih tradisional yang menjadi produk paling diminati ramai dalam perniagaannya.
“Kami mula membuat kuih bahulu ini sejak dari zaman kanak-kanak lagi bersama kedua ibu bapa.
“Ibu bapa saya rajin buat bahulu jadi kami selalu buat untuk majlis kenduri, majlis perkhawinan, untuk sedekah atau untuk makan sendiri sahaja.
“Dari situ kami mendapat banyak permintaan dan sambutan yang baik daripada orang sekeliling, maka bermulalah jualan kami secara kecil-kecilan,” katanya.
Menurut Aisyah yang berasal daripada Kota Belud, kini perniagaannya semakin berkembang melalui platform e-dagang seperti di TikTok dan Facebook.
“Kami banyak menerima pesanan ‘Cash on Delivery’ (COD) hasil daripada jualan kami dalam ‘live’ di media sosial.
“Antara yang paling mendapat sambutan adalah bahulu pandan sehinggakan kami kadang kala hampir tidak menang tangan menyiapkan pesanan.
“Terdapat juga bahulu original dan bahulu coklat yang sering menjadi pilihan kanak-kanak dan semua kuih tradisional kami adalah hasil ‘homemade’ sahaja.
“Saya cuba untuk membuat pembaharuan mengikut permintaan moden masa kini agar lebih menepati cita rasa masyarakat,” katanya ketika ditemui wartawan TMP di gerai Inak Yong, di Karnival Jom Heboh Sabah, Kompleks Sukan Likas, di sini pada Jumaat.
Sehubungan itu, Aisyah juga menjelaskan perniagaannya turut menyediakan pilihan kuih tradisional lain, perkhidmatan katering dan kanopi.
“Kami juga ada membuat kuih sapit berperisa matcha, coklat dan kacang. Selain itu ada juga Kuih Rempeyek dan banyak lagi.
“Karnival Jom Heboh kali ini adalah pertama kali untuk perniagaan Inak Yong turut serta, saya mahu mencuba kembangkan perniagaan ini kalau boleh sehingga ke pasaran luar negara,” ujarnya.

