
KOTA KINABALU – Hanya berpandukan gambar sebagai medium pembelajaran dan pengajaran utama, para pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) mampu menghasilkan tempahan biskut beraneka sempena perayaan Krismas tahun ini.
Menurut Pengurus Bakeri di Persatuan Bagi Orang-orang Pekak Sabah (Sabah Society For The Deaf), Era Fazirah Jualaan, 29, para pelatihnya amat gigih berusaha hanya menggunakan gambar dan bahasa isyarat mereka mampu menguasai resipi yang telah dicipta.
“Sebelum kami mengeluarkan resipi, kami akan membuat persiapan beberapa bulan sebelum perayaan dan bersiap sedia mencuba sesuatu yang baharu, jika bagus, kami akan beri kepada ibu bapa, komuniti kami dan kawan-kawan untuk mereka nilai.
“Respon ibu bapa semuanya positif, kadang-kadang saya beri para pelatih resipi untuk mereka cuba di rumah, hasilnya dulu mereka tidak tahu menyesuaikan diri dalam dapur, sekarang mereka lebih berani.
“Para pelatih OKU yang ada di sini bukan sahaja OKU pekak malah terdiri daripada OKU ‘Autisme’, ‘Cerebral palsy’ dan ‘Mental Disability’.
“Jadi saya harap di luar sana nanti akan dibuka lagi kursus bakeri yang lebih banyak untuk golongan OKU dari pelbagai ‘disability’,” katanya ketika ditemui wartawan TMP di sini, baru-baru ini.
Jelas Era, mereka bukan sahaja mengambil tempahan biskut untuk perayaan Krismas tetapi juga semua perayaan lain di Malaysia dan mereka telah mula membuat biskut Krismas sejak hujung November lalu.
“Biasanya kami ambil ‘pre-order’, selepas tiga hari pesanan pelanggan akan dapat biskut.
“Kami mempunyai target untuk setiap musim perayaan yang kira-kira boleh mencapai 400 balang untuk satu perayaan.
“Kami menjual biskut dan kek jadi untuk Krismas ini kami menjual biskut ‘German Butter’, ‘Almond flakes’ dan kek buah khas untuk Krismas,” katanya.
Sementara itu, seorang pelatih OKU pekak, Elivee Marjon, 28, berkata, berpeluang menghasilkan biskut sempena Krismas adalah sebuah kegembiraan untuknya.
“Saya berharap agar lebih banyak lagi tempahan biskut akan dibuat kepada kami dalam setiap musim perayaan, saya senang hati melakukan kerja ini,” katanya.
Manakala Pengerusi Persatuan berkenaan, Liau Kee Siong mengalu-alukan jika terdapat pihak yang prihatin untuk tampil memberikan sumbangan kepada persatuan tersebut.
“Saya berharap agar kerajaan atau pihak swasta yang lainnya boleh melaksanakan ‘Corporate Social Responsibility’ (CSR) bagi mendapatkan sedikit sebanyak sumbangan kepada kami.
“Sumbangan berkenan boleh membantu kami untuk menjayakan projek-projek kami di sini, saya harap lebih dari satu pihak ini boleh bekerjasama untuk menyumbang dan mengumpulkan dana,” katanya.









