KKM komited tangani masalah kekurangan doktor perubatan

PUTRAJAYA – Lebih 6,000 doktor perubatan telah meletakkan jawatan dalam tempoh lima tahun yang lalu, angka itu termasuk 3,200 pegawai perubatan kontrak (MO) yang meletakkan jawatan untuk beralih ke jawatan tetap.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di laman X berkata, daripada angka tersebut, terdapat juga doktor yang berpindah ke bidang akademik, yang secara tidak langsung masih menyumbang kepada pengukuhan sektor kesihatan awam.

“Walaupun begitu, isu penghijrahan tenaga kerja (brain drain) kekal sebagai cabaran besar dalam semua industri, termasuk sektor kesihatan.  

 “Saya telah mendengar semua kebimbangan anda dan juga suara para doktor kita. Saya sepenuhnya mengakui bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) kekurangan kakitangan, dan sebahagian kakitangan, lebih-lebih lagi, dibebani tugas yang berlebihan. Saya sama sekali tidak mahu menafikan fakta ini.

“Namun, dalam menghadapi kekangan yang ada, saya berjanji bahawa semua isu yang dihadapi oleh kakitangan kita di lapangan akan ditangani sepanjang penggal kedua saya sebagai Menteri Kesihatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi membalas pertanyaan seorang doktor nefrologi, Dr Rafidah, mengenai strategi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani isu kekurangan doktor perubatan.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, KKM tidak dapat sepenuhnya menghalang MO dan Pakar kita daripada berpindah ke sektor swasta, kita telah memperkenalkan beberapa strategi untuk mengekalkan mereka.  

“Dalam jangka masa sederhana, inisiatif ‘Rakan KKM Partnership’ merupakan suatu perubahan besar yang bertujuan mengurangkan kadar attrisi tenaga kerja profesional kesihatan melalui penawaran gaji yang lebih baik, di samping meningkatkan kemudahan awam melalui subsidi silang daripada sumber pendapatan baru seperti kemudahan ‘premium economy’ Rakan KKM.  

“Langkah jangka pendek termasuk penyesuaian gaji, jadual kerja yang fleksibel, dan membenarkan amalan locum. Kami akan terus komited untuk memperbaiki keseimbangan kerja-kehidupan dan kebajikan keseluruhan profesional perubatan kita,” katanya.

Dzulkefly berkata, mengenai situasi di Hospital Seri Manjung, KKM sedang berusaha untuk menambah lebih ramai MO ke jabatan-jabatan kritikal. 

“Usaha ini akan dijalankan dengan kerjasama Biro Sumber Manusia (BSM) bagi memastikan tenaga kerja mencukupi. Namun, ini merupakan tugas yang mencabar. Walaupun begitu, terdapat peningkatan tahunan dalam penempatan MO ke semua fasiliti KKM, dan satu kumpulan baru MO telah ditugaskan minggu lepas. 

“Oleh itu, Hospital Seri Manjung akan menerima tambahan kakitangan perubatan tidak lama lagi. Saya juga sedar bahawa isu ini bukan hanya terhad kepada Hospital Seri Manjung tetapi merupakan masalah yang melibatkan seluruh negara. KKM akan berusaha sebaik mungkin untuk menangani kebimbangan mendesak ini.

“Saya bertekad untuk bekerjasama rapat dengan JPA dan MOF bagi membantu KKM mengatasi cabaran-cabaran ini. Anda tentu memahami bahawa terdapat beberapa perkara yang berada di luar bidang kuasa KKM, sebab itu kami melibatkan JPA untuk memastikan isu-isu ini diselesaikan secara efektif dan harmoni,” katanya.

Selain itu, tambah Dzulkefly, KKM juga komited untuk merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan, satu pembaharuan yang telah diperjuangkan sejak awal era ‘Reformasi’.

“Ini selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang telah dibentangkan. Inisiatif ini menunjukkan komitmen jangka panjang untuk menangani dan menyelesaikan isu sistemik dalam sektor kesihatan.  

“Saya ingin tegaskan bahawa untuk mencapai tugas yang berat dan besar ini, kita memerlukan usaha semua pihak.  Tanpa ragu, saya memerlukan profesional dan rakan-rakan yang sehaluan untuk terus berjuang demi kebaikan,” tambahnya.

Related Posts

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memperkukuh tatakelola institusi berkenaan serta memastikan amanah umat Islam terus dipelihara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

AYER KEROH – Kestabilan politik perlu terus dipelihara bagi memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi negara, terutama ketika Malaysia berdepan ketidaktentuan geopolitik global, kata bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua. Beliau berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak