
LAHAD DATU – Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memastikan Wilayah Persekutuan Labuan terus membangun dan tidak ketinggalan.
Setiausaha Politik (Supol) Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, sekiranya Labuan di bawah Kerajaan Persekutuan, pembangunannya akan lebih sempurna.
“Kita di Persekutuan sedang berusaha untuk mempertingkatkan semula infrastruktur di Labuan dan di bawah Perdana Menteri, setiap Kementerian kena turun ke Labuan untuk melaksana program bersama rakyat Labuan dan melihat sendiri apa-apa keperluan di Labuan.
“Persekutuan akan majukan semula Insya-Allah dan Labuan tidak ketinggalan kerana kita juga sedang membawa pelabur-pelabur untuk jadikan Labuan sebagai ‘Smart City’,” katanya.
Azman berkata demikian selepas diminta mengulas dakwaan beberapa ahli politik di negeri ini yang mahu Labuan dikembalikan semula kepada Sabah.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar perkara itu tidak perlu disuarakan semula kerana lebih banyak perkara yang perlu diberi perhatian.
Mengulas mengenai jelajahnya ke Sabah, Azman berkata, jelajah itu dibuat bagi menyantuni golongan memerlukan di setiap Parlimen di Sabah selain memastikan kesiapsiagaan anggota parti berdepan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
“Tahun depan saya akan susuli lagi jelajah ini kerana kita tahu di peringkat parti kita perlu siapkan anggota PKR kita menghadapi PRN17 Sabah akan datang.
“Semangat ditunjukkan cabang Lahad Datu ini amat memberangsangkan dan Insya-Allah kita cuba rampas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Lahad Datu ini,” tegasnya.


