
Oleh: Lee Hendrix
SRI AMAN – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan Sarawak bukanlah tamak seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak tetapi hanya mahu mendapatkan haknya seperti yang diperuntukkan undang-undang negara.
“Kalau hasil Sarawak bertambah, hasil tersebut akan dikembalikan kepada rakyat untuk membangunkan Sarawak seperti RM1.5 bilion yang diluluskan untuk projek-projek Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA).
“Adakah salah untuk rakyat di Sri Aman membangun seperti di kawasan-kawasan lain yang sudah maju? Adakah salah untuk Sarawak membangun seperti negeri-negeri yang sudah maju?” soal beliau.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas semasa perasmian Pesta Benak Sri Aman 2024 di Tebingan Sri Aman pada Sabtu.
“Rakyat Sarawak hanya mahu Sarawak maju dan dihormati dengan kemampuan untuk menguruskan sumber asli yang ada dan kita berhak mendapatnya,” katanya.
Untuk itu, beliau berharap keupayaan Sarawak menguruskan sumber kekayaannya tidak dipersoalkan.
Abang Johari juga yakin Pesta Benak Sri Aman yang diadakan setiap tahun sejak 1999 sebagai satu produk pelancongan Sri Aman yang akan sentiasa menarik pengunjung serta pelancong dari luar Sarawak serta luar Malaysia.
“Simanggang melalui Pesta Benak ini telah melakukan yang sebaiknya untuk mengangkat ekonomi Sri Aman, selain usaha-usaha lain seperti pembangunan infrastruktur, khususnya di bawah SADA” ujarnya.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Penasihat Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman 2024, Datuk Francis Harden Hollis; Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodie; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang; ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman 2024, Mahra Salleh dan tetamu kenamaan lain.





