
KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan (W.P) Labuan melaksanakan pelupusan barangan ekshibit yang melibatkan 300 peti minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran bernilai RM50,000.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, minuman keras yang telah dilucuthak itu dimusnahkan menggunakan kaedah tanam dan buang di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Kayu Madang, Telipok di sini.
“Pelupusan ini turut mendapat sokongan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang menyediakan jentera jengkaut untuk memusnahkan barangan tersebut.
“Proses pelupusan dilakukan setelah permohonan lucuthak diluluskan oleh mahkamah melalui satu perintah rasmi,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada Khamis.
Tambah beliau, program pelupusan ini dilaksanakan selaras dengan Arahan Ketua Pengarah (AKP) Bilangan Enam tahun 2024 yang menggariskan prosedur pengurusan ekshibit serta barang-barang kes yang telah dilucuthak.
Hadir sama menyaksikan proses pelupusan tersebut ialah Penolong Pengarah Kanan (Aset dan Perolehan), Ryan Solicito dan Pegawai KM Ikhlas, Leftenan Maritim Abdul Salleh Hantar.

