PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap segala perancangan pembangunan bagi Kampung Chengal Lempong di Kuantan, Pahang melalui peruntukan diluluskan akan membawa perubahan positif dan manfaat berterusan kepada masyarakat setempat.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata, Setiausaha Politiknya , Datuk Ahmad Farhan Fauzi sempat mewakili beliau bagi menyantuni masyarakat kampung berkenaan di Balairaya Chengal Lempong, semalam.
“Kesempatan ini digunakan dengan turut melihat sekitar kawasan kampung yang bakal menikmati pembangunan hasil peruntukan sebanyak RM2.5 juta, yang saya luluskan antaranya bagi memperkasa komuniti setempat, dengan memberi fokus kepada infrastruktur, pendidikan dan kebajikan penduduk,” katanya.
Anwar berkata antara yang bakal dibangunkan dan sedang dibina adalah gelanggang futsal bertutup dan bangunan serba guna Chengal Lempong.
Pengumuman mengenai pemilihan Kampung Chengal Lempong sebagai Kampung Angkat Madani dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Julai lalu.
Melalui inisiatif itu setiap permasalahan termasuk kesihatan, pendidikan, sosial, mahupun ekonomi dapat dilihat secara mendalam dan langkah penyelesaian terbaik diatur, sekali gus memastikan tiada rakyat yang tercicir.
Objektif utama program itu adalah bagi merapatkan jurang antara desa dan bandar dengan melengkapkan kemudahan asas terutama air, elektrik, jalan dan capaian jalur lebar.

