ALOR SETAR – Krisis dalaman yang dihadapi oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) pada hari ini tidak akan memberi kesan kepada petani di seluruh negeri walaupun ianya merupakan agensi yang memainkan peranan penting dalam sektor pertanian di Malaysia.
Pergantungan beberapa ahli lembaga hari ini diharap dapat menstruktur kembali agensi pertanian itu dengan meluruskan semula tatakelola dalam Nafas akan datang.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, Ketua Pengarah LPP akan menggantung perlembagaan buat sementara itu supaya siasatan dapat dijalankan.
Katanya, pihak Ketua Pengarah akan melantik pentadbir sementara secepat mungkin supaya segala tatakelola agensi berkenaan dapat berjalan dengan baik seperti biasa.
“Oleh itu tidak timbul sebarang masalah sepanjang penggantungan perlembagaan itu. Segala pelaksanaan urusan tidak akan tertangguh atau tergendala dan tidak memberi kesan buruk kepada petani.
“Penggantungan perlembagaan langsung tidak menjejaskan agihan bantuan seperti baja dan benih kepada petani. Nafas masih lagi mampu menyediakan input pertanian kepada petani masalah kenaikan kos kesan dari penggantungan perlembagaan adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
Menurut Mahfuz lagi, krisis penggantungan perlembagaan ini akan melancarkan lagi Nafas supaya lebih harmoni.
Apabila segala tadbir urus dapat dilakukan dengan menambah baik maka akan melancarkan lagi Nafas dalam memperjuangkan lagi nasib petani di negara kita masa akan datang.
“Nafas adalah di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Oleh itu Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai hak bagi membuat siasatan dalam Nafas kerana itu adalah kuasa mereka bagi mengenal pasti punca berlakunya ketirisan sekiranya ada.
“Kakitangan dalam Nafas akan sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM semasa siasatan. Semasa siasatan SPRM itu segala urus tadbir Nafas tetap akan berjalan seperti biasa dan peladang di seluruh negeri tidak perlu percaya bahawa selama siasatan itu segala urus tadbir diberhentikan.
“Saya juga berharap semua petani di negara ini jangan mudah terpengaruh dengan sebarang tohmahan yang dilemparkan oleh pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan dalam krisis dalaman Nafas pada hari ini,” katanya.



