Dr Ahmad Zahid Hamidi
TEMERLOH – Barisan Nasional (BN) akan menyenaraikan calon untuk diketengahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 lebih awal sebagai persediaan mencari calon yang tepat.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon berkenaan akan dikenal pasti oleh pengerusi badan perhubungan UMNO negeri dan akan diberikan latihan dan dipantau sebelum dipilih sebagai calon.
“Kita telah menubuhkan sekolah politik di bawah biro latihan dan perkaderan UMNO Malaysia dan kita akan melatih bakal calon yang kita telah kenal pasti yang mana di situ mereka akan dilatih dengan beberapa teori dan amali kepemimpinan.
“Kita akan menilai prestasi mereka sewaktu mereka menghadiri sekolah politik berkenaan dan kita akan bawa senarai mereka itu ke bawah untuk kita lihat siapakah yang boleh memenangi sesuatu kerusi itu dan penerimaan pengundi serta juga bagaimana seseorang itu disukai pengundi-pengundi,” katanya pada Konvensyen BN Pahang sempena sambutan Ulangtahun Jubli Emas ke-50 BN di Dewan Tun Abdul Razak, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi BN Pahang.
Ahmad Zahid berkata, penubuhan sekolah politik itu diputuskan dalam mesyuarat majlis tertinggi UMNO dua bulan lalu dan penyusunan program telah dilakukan serta akan diperincikan dalam masa terdekat.
Beliau berharap pendekatan baharu itu akan lakukan di seluruh negara dengan Wan Rosdy akan mengetuai bersama-sama dengan kepimpinan sekolah politik yang akan mengadakan kursus atau latihan itu di Institut Latihan dan Memperkasa Ummah (ILMU), di Janda Baik, dekat Bentong.

