KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas rokok dan minuman keras yang diseludup bernilai kira-kira RM2.7 juta dalam satu serbuan di dua buah gudang di Taman Perindustrian Perdana Bukit Palong, Negeri Sembilan.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, serbuan pada 28 September lalu dibuat hasil aduan awam dan risikan pihaknya.
“Hasil pemeriksaan dilakukan di sebuah gudang pada jam 8 pagi menemukan sejumlah 3,156,961 batang rokok pelbagai jenis dengan anggaran nilai sebanyak RM286,118.40 membabitkan jumlah cukai dan duti terlibat dianggarkan berjumlah RM2,112,205,44.
“Dalam serbuan kedua pada jam 2 petang di sebuah lagi gudang berjaya menemukan minuman keras berjumlah 3,928.4 liter dengan anggaran nilai sebanyak RM65,538.91 membabitkan jumlah cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM227,597.74,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam, di sini, hari ini.
Tambahnya, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas peralatan menyuling minuman keras.
Menurutnya, rokok tidak berkastam didapati tidak memenuhi kriteria berdasarkan Butiran Satu (1), Bahagian Dua, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Katanya bagi kes minuman keras pihaknya mendapati premis berkenaan tidak dilesenkan untuk menyuling, menapai atau mengilang minuman keras yang memabukkan dan kes disiasat mengikut Akta Eksais 1976.
Katanya, berdasarkan siasatan mendapati rokok dan minuman keras berkenaan adalah untuk pasaran tempatan dan pihaknya masih menyiasat sumber bahan asas minuman keras yang dibotolkan.
“Kita juga masih menyiasat sama ada terdapat kaitan antara dua kes ini dan masih menyiasat tempoh operasi kedua-dua aktiviti yang menyalahi undang-undang ini,” katanya.



