KUALA PERLIS – Taktik menangkap siput dalam kegelapan malam gagal mengaburi mata penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas aktiviti haram itu berjaya dikesan semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain berkata, sebuah vesel nelayan tempatan Kelas A ditahan pada kedudukan 0.96 batu nautika dari barat daya Kuala Sanglang kira-kira pukul 1.30 pagi.
“Dalam dalam kejadian itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi OP AMAN dikerahkan ke lokasi bagi pemeriksaan lanjut.
“Ketika tiba di kawasan tersebut, sebuah bot nelayan ditemui dalam keadaan mencurigakan. Pemeriksaan mendapati seorang tekong dan dua awak-awak tempatan berusia 34 hingga 52 tahun sedang menangkap siput retak seribu dan bronok dalam keadaan gelap,” katanya.
Mohd Hashim berkata, bot tersebut yang berpangkalan di Kuala Sala, Kedah disyaki melanggar pelbagai peraturan di bawah Akta Perikanan 1985 termasuk melanggar syarat lesen dan menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran.

“Walaupun rondaan kerap dilakukan.pihak Maritim Malaysia, kegiatan haram tersebut masih berleluasa dan sanggup menanggung risiko demi mengaut keuntungan.
“Tindakan penahanan ini dibuat susulan beberapa aduan yang diterima berhubung aktiviti menangkap siput secara haram di perairan Kuala Perlis,” katanya.
Dalam operasi berasingan, Maritim Malaysia turut merampas 20 set bubu naga di kedudukan 0.7 batu nautika dari barat Sungai Berembang.
Keseluruhan tangkapan dan rampasan bernilai lebih RM50,000, manakala tiga individu yang ditahan dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia menyeru orang ramai agar melaporkan sebarang jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072.





