
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan penuh kepada masyarakat Orang Asli untuk menjaga kebajikan dan hal ehwal mereka.
Berkongsi di laman Facebook rasmi, Anwar berkata beliau menerima kunjungan hormat masyarakat Orang Asli yang diketuai oleh Ahli Dewan Negara, Senator Manolan Mohamad di Putrajaya, hari ini.
Menurut beliau, pertemuan dua hala itu turut membincangkan isu sosioekonomi, kepentingan pendidikan serta penglibatan anak Orang Asli dalam sektor kerajaan.
“Perbincangan kami menyentuh pelbagai perkara khususnya tentang isu sosioekonomi Masyarakat Orang Asli dan usaha bagi meningkatkan keterlibatan masyarakat dalam bidang pendidikan dan peluang anak Orang Asli bagi menjawat jawatan di dalam jabatan kerajaan.
“Dalam sesi kunjungan tadi, saya beri jaminan bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada masyarakat orang Asli,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu, wakil dari Persatuan Orang Asli Perak, Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia, Persatuan Semelai Pahang, Jaringan Orang Asli Pahang, Koperasi Asal Orang Asli Selangor Berhad serta Jaringan Orang Asli Semalaysia.



