
DATUK Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat berbilang kaum di negara ini menjauhi serta tidak terpengaruh golongan atau individu disifatkan sebagai pelampau kaum masing-masing, khususnya apabila sesuatu tuntutan kepada kerajaan belum dipenuhi.
Perdana Menteri berkata, rakyat tidak seharusnya terbawa-bawa sentimen dimainkan golongan pelampau itu yang diakui wujud dalam mana-mana kaum, di mana menurutnya negara akan dilanda kehancuran jika individu daripada golongan pelampau diberikan ruang mengemudi kepimpinan.
“Jangan terbawa-bawa sentimen orang-orang yang melampau. Ada Melayu yang melampau sekarang, ada Cina yang melampau dan ada India yang melampau… (jika) kita benarkan orang-orang ini naik, hancur negara kita.
“Sebab itu kita mesti ambil jalur tengah, berunding dengan baik… ada perselisihan bincang dengan baik dan gunakan ruang supaya berikan pandangan,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SJKT) Heawood, Sungai Siput Utara, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Anwar dalam pada itu menasihati pengamal media tidak terlalu ‘memilih bulu’ dalam membuat liputan khususnya mengenai isu berkaitan kaum timbul, dengan hanya menumpukan isu berkaitan tuntutan pihak tertentu namun kurang mendedahkan usaha kerajaan dalam memenuhi tuntutan serta permintaan itu.
Memberi contoh di mana beliau baru-baru ini menjemput semua wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Timbalan Menteri berbangsa India ke suatu perjumpaan, yang mana isu mengenai kekurangan tempat pembakaran mayat atau krematorium kaum India diutarakan.
Kata Anwar, biarpun isu pembinaan krematorium sering menimbulkan konflik dengan penduduk setempat, hasil perbincangan menerusi cadangan dikemukakan secara baik akhirnya berhasil membuatkan kerajaan meluluskan peruntukan RM20 juta bagi pembinaan sekurang-kurangnya enam krematorium untuk kaum India membabitkan beberapa negeri.
“Bila saya lihat liputan media Tamil keesokannya, itu (kelulusan RM20 juta) tidak jadi besar, (sebaliknya) yang jadi besar ialah adanya sedikit sebanyak perbincangan dan ketegangan dalam mesyuarat.
“Jadi saya hendak nasihat media bahawa kalau kita pilih begitu, apa hendak jadi?
“Ambil (liputan berita tentang) orang Melayu yang bising seperti di Terengganu semalam, untuk dihebohkan… apa hendak jadi? Orang Melayu tuntut negeri ini jadi negeri Melayu sahaja, orang India (pula) kata tidak dapat apa-apa dan minta semuanya, ini bukan caranya.
“Saya ambil pendekatan yang mudah iaitu cakap baik-baik (dan) yang munasabah, maka kita luluskan (peruntukan). Saya tiada masalah.
“Kalau dikemukakan (perbincangan) dengan baik begitu, kita cari tempat yang baik (seperti) janganlah dekat dengan kampung Cina atau kampung Melayu yang mana mereka tidak mahu.
“Pilih tempat jauh sedikit dan kerajaan negeri pun ada tanah, lalu Kerajaan Persekutuan terus dalam perjumpaan itu bersetuju untuk meluluskan RM20 juta untuk krematorium,” katanya.






