KOTA BHARU – Tindakan Perikatan Nasional (PN) yang masih bermain politik sempit dan sombong dengan menolak draf memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang membawa kerugian kepada rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata, beliau juga kecewa dengan sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang asyik bermain politik murahan, memainkan sentimen rakyat dan menganggu-gugat kestabilan kerajaan sedia ada.
Ini kerana, katanya, tawaran sama pernah ditawarkan kepada pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu PN memerintah negara sebelum ini.
“Beliau (Anwar) bersetuju dengan rendah hati disebabkan beliau meletakkan kepentingan rakyat lebih utama daripada segala-galanya. Bagi saya, setiap lima tahun kita akan diberi peluang supaya rakyat memilih kepemimpinan mereka.
“Jadi, kalau kita berkhidmat dan berjasa kepada rakyat, maka rakyat akan faham dan pasti akan memberi sokongan kepada mereka yang berjasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, PN mengumumkan menolak draf MoU itu yang antara lain mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan.
Hamzah mendakwa, cadangan MoU itu juga bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.
Mengulas lanjut, Hasmuni berkata, PN seharusnya menunjukkan sikap matang dan terbuka dalam isu peruntukan itu.
Beliau juga menggesa rakyat tidak diheret sama dan mengetengahkan sentimen merugikan mereka.
“Hal peruntukan ini disalurkan demi rakyat, digunakan untuk rakyat. Maka manfaatkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.





