
TANAH MERAH – Seramai 384 kanak-kanak menghuni Baitul Mahabbah sejak ditubuhkan setahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata daripada jumlah itu, 80 kanak-kanak sudah dihantar pulang ke negara asal mereka.
Katanya, berapa lama kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah itu bergantung kepada pejabat kedutaan masing-masing yang menyediakan dokumen perjalanan mereka sebeluk dihantar pulang.
“Setakat ini paling sekejap dua minggu dan paling lama sehingga enam bulan. Namun, suasana dan keadaan Baitul Mahabbah ini jauh lebih baik berbanding sebelum ini mereka berada di depoh.
Selain kanak-kanak itu dipantau, mereka juga disediakan kelas mengaji, membaca dan mengira,” katanya selepas merasmikan Baitul Mahabbah Tanah Merah, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.
Baitul Mahabbah merupakan institusi yang diperkenalkan oleh Kerajaan Madani sebagai pusat penempatan sementara bagi menampung kanak- kanak warga asing berumur kurang 10 tahun yang ditahan bersama penjaga sehingga proses dokumentasi mereka selesai.
Inisiatif itu merupakan salah satu komitmen Kerajaan untuk melindungi hak kanak-kanak tanpa mengira status seperti yang dinyatakan dalam Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611] dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).
Dalam pada itu Saifuddin berkata, sehingga kini empat Baitul Mahabbah sudah dibuka di Kelantan manakala dua lagi akan dibuka selepas ini.
“Dua lagi yang akan dibuka adalah di Johor dan Kedah. Untuk di Kelantan setakat ini terdapat 17 kanak-kanak membabitkan 10 lelaki dan tujuh perempuan termasuk dari negara Afghanistan.
“Untuk Baitul Mahabbah bagi tahun ini kita sudah membelanjakan RM10 juta dan kita berharap kerajaan akan memberi peruntukan tambahan menerusi pengumuman bajet akan datang bagi membolehkan lebih banyak Baitul Mahabbah dibuka,” katanya.







