
TAWAU – Seorang wanita memohon orang awam menjejaki bapanya, Pida Sellek, 78, yang dilaporkan hilang di Kampung (Kg) Checkpoint Batu 38 Jalan Kunak–Tawau sejak 24 Ogos lalu.
Sariyanti Kadir, 30, berkata, bapanya didapati hilang apabila tidak kembali ke rumah pada waktu petang selepas keluar ke kebun sawit berdekatan.
“Bapa keluar ke kebun sawit di dekat rumah pada pagi dan balik untuk makan tengah hari lalu memasuki kawasan kebun semula. Selalu pukul 4 petang bapa akan pulang namun sampai sekarang (4 September) masih belum ada khabar.
“Puas kami cari di sekitar kebun tapi bapa masih belum dijumpa dan kami terus buat laporan polis ketika itu,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau berkata, pakaian terakhir dikenakan bapanya sebelum dipercayai hilang adalah T-shirt putih, berseluar pendek dan membawa kain pelikat.
Menurut Sariyanti, warga emas itu sebelum ini tidak pernah hilang dan hanya selalu ke kebun sawit berhampiran rumah sahaja.
Justeru, beliau memohon agar orang ramai yang melihat kelibat atau menemui bapanya boleh menghubunginya di talian 011-23686140.





