
PARIS – Dilahirkan dengan keadaan tangan dengan sebahagian jari bersambung dan kaki kecil di bahagian kanan, Eddy Bernard membuktikan mampu untuk menyumbang pingat pertama buat Malaysia bagi acara 100 meter lelaki T44 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik yang berlangsung di Stade de France itu.
Beliau yang berasal dari Beluran, Sabah menghadiahkan pingat gangsa buat negara dengan catatan 11.58 saat sekali gus turut memecahkan rekod Asia terdahulu milik wakil Sri Lanka, Indika Gamage iaitu 11.75 saat pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun pada Mei lalu.
Apabila ditanya mengenai perkara yang mendorong beliau untuk meneruskan misi di temasya sukan ini, beliau hanya memikirkan perkara yang positif walaupun dia tahu kekurangan yang ada pada dirinya.

“Apabila lihat orang lebih sempurna fizikalnya boleh buat, saya pun boleh. Saya selalu cuba positifkan diri saya.
“Kadang-kadang pernah rasa rendah diri namun saya cuba mengalih fikir benda lain dan lawan diri untuk terus positif. Jangan fikir negatif,” katanya ketika ditemui pada zon campuran di sini pada Isnin.
Tambah beliau lagi, kata-kata semangat Hamberi Mahat iaitu jurulatih beliau turut menjadi pembakar semangatnya sebelum bermulanya pertandingan.
Kejayaannya dalam sukan ini turut mendapat dorongan keluarga dan rakan-rakan beliau.
Dalam pada itu, bagi pingat emas pula disambar oleh wakil Afrika Selatan, Mpumelelo Mhlongo dengan catatan 11.12 saat manakala pingat perak menjadi milik atlet Cuba, Yamel Luis Vives Suares dengan masa 11.20 saat.







