
DARO – Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata penganjuran Pesta Daro dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di Daro.
“Selain mengukuhkan perpaduan, Pesta Daro juga menjadi kekuatan kepada kerajaan untuk membawa agenda pembangunan pesat di Daro,” ujar beliau.
Tambah beliau, Daro semakin berubah dari tahun ke tahun berbanding sebelum ini.
“Sebelum ini, Daro dilihat sebagai kawasan pesisiran yang kurang membangun. Dengan ada projek yang berimpak tinggi seperti pembinaan Jambatan Batang Lassa, tidak mustahil mengubah sosioekonomi rakyat tempatan,” kata beliau lagi.
Beliau berkata demikian kepada media ketika merasmikan Majlis Pesta Daro pada Ahad lalu.
Sementara itu, Awang Tengah merangkap Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar II berkata rakyat perlu terlibat sama dengan mengambil peluang yang ada.
“Rakyat perlu cepat mengambil peluang yang sedia ada untuk majukan diri dan keluarga,” kata beliau lagi.
Demi kepekaan keperluan rakyat dari segi pembangunan, jelas beliau, maka Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penubuhan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) adalah merancang pembangunan di kawasan terlibat.
Antara projek pembangunan khususnya Daro yang kini giat dijalankan ialah Jambatan Batang Paloh, Tebingan Daro dan Anjung Usahawan.





