KUALA LUMPUR – UMNO perlu mengambil tanggungjawab menjelaskan kekeliruan dalam kalangan orang Melayu Islam bahawa parti dan agama adalah dua perkara berbeza, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata ini kerana ada dalam kalangan pihak lawan yang sebangsa dan seagama sanggup mentakrifkan UMNO sebagai sekular dan sesat.
Tambahan pula, katanya ada pihak sanggup membacakan qunut nazilah, mendoakan kehancuran bahkan ada kalanya membacakan talkin kepada UMNO.
Dengan perlakuan sebegitu, beliau beranggapan apa yang pihak berkenaan lakukan kepada UMNO seolah-olah satu sindiran seolah-olah parti ini telah mati.
“Begitu juga mereka sanggup mengheret institusi raja dalam kancah politik, lalu merendahkan kedudukan Raja-Raja Melayu.
“Mereka turut memainkan sentimen perkauman dan politik kebencian melampau,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Wan Rosdy berkata, UMNO juga mesti bertindak dalam memperbetulkan setiap tuduhan yang dilemparkan oleh Pas yang juga parti sebangsa dan seagama.
Melihat perangai Pas yang asyik ‘meratib’ UMDAP – merujuk kerjasama UMNO dengan DAP – beliau mengingatkan yang orang UMNO belum lagi pernah berguling atas jalan sambil memegang bendera DAP.
“Pas boleh jadi apa sahaja kerana politik. Agama digunakan hanya untuk menghasut rakyat terutamanya anak-anak muda.
“Maki hamun, carutan, caci maki, fitnah dan pembohongan dinormalisasikan melalui kempen mereka.
“Strategi digunakan ini merosakkan cara pemikiran generasi muda Melayu dan generasi ini akan mewarisi negara tercinta pada suatu hari nanti.
“Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk memperbetulkan keadaan ini,” katanya.




