KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN) Pahang menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Taat setia turut dizahirkan kepada Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Ketua Pembangkang Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ADUN PN menyokong penuh titah Tengku Hassanal berhubung ucapan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berkempen di Nenggiri dan berharap satu siasatan adil dijalankan atas dakwaan tersebut.
“Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap titah Tuanku,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mahu semua ADUN PN di negeri itu membuat penyataan sikap berhubung kenyataan Muhyiddin.
“Semua ahli yang berhormat ADUN di negeri ini perlu menyatakan pendirian tegas berhubung perkara tersebut kerana baginda Sultan Pahang adalah sebahagian dari dewan perundangan negeri ini,” kata Mohd Sharkar.
Baru-baru ini, Muhyiddin didakwa menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 tidak menjemputnya ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, walaupun beliau mendapat sokongan 115 ahli parlimen.
Susulan itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikai tugas serta peranan Al-Sultan Abdullah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.




