Sungai Tembeling kering: Dalam terjejas penduduk tetap bersyukur

DATARAN berpasir yang luas kira-kira 100 meter lebar dan 200 meter panjang di Sungai Tembeling, Jerantut akibat cuaca panas melampau dan kering sejak April lalu memberi kesan kepada penduduk pedalaman Kampung Gusai.

Kedudukannya yang terpencil dan paling hujung di persisiran sungai berkenaan selain merupakan antara kawasan tumpuan pelancong Taman Negara kini hanya boleh diakses melalui jalan balak dan air.

Ketua Kampung Gusai, Ahmad Abu Bakar, 66, berkata hanya tiga penduduk di kampung yang mempunyai lebih 200 penduduk itu mempunyai kereta pacuan empat roda, manakala selebihnya bergantung penuh pada bot kecil berkapasiti enjin 15 kuasa kuda dan rakit bagi urusan di pekan termasuk mengangkut motosikal.

“Perjalanan ke kampung ini memang ambil masa lama dari Kuantan ke Kampung Pagi dalam daerah Jerantut kira-kira lima jam perjalanan, kemudian perlu menaiki Hilux ke Kampung Mat Daling kira-kira sejam setengah.

“Bagi yang tidak ada Hilux akan berhenti di Kampung Bantai kerana ada jeti Sungai Tembeling di situ dan akan menyusuri sungai berkenaan menggunakan bot atau sampan tradisional ke Sungai Sepia selama sejam ke kampung kami (Kampung Gusai),” katanya kepada media.

Namun, keadaan air Sungai Tembeling yang semakin menyusut sehingga membentuk beberapa beting pasir bukan sekadar menjejaskan kehidupan harian penduduk kampung itu yang majoriti orang Melayu untuk aktiviti penangkapan ikan atau membawa anak dan guru ke sekolah.

Ahmad berkata, kos perbelanjaan penduduk kampung untuk membeli barang dapur serta pengusaha chalet mendapatkan bahan binaan juga agak mahal sehingga ada yang mencecah tiga kali ganda berbanding harga di pasaran.

“Cuaca panas ini sejak Mac tetapi pada waktu itu, seminggu atau dua minggu akan hujan. Tetapi apabila masuk Julai, langsung tidak hujan. Kampung Gusai agak kritikal kerana Sungai Sepia agak cetek berbanding Sungai Tembeling kerana terletak di hulu.

“Ada sebab mereka letak harga mahal kerana nak menyusuri ke jeti Kampung Bantai, risiko enjin rosak adalah tinggi sebab bila tarik bot, enjin kena batu-batu sungai. Tarik (bot) pun perlukan kudrat dari sejam perjalanan ke jeti, boleh jadi lebih daripada itu disebabkan air surut dan adanya beting pasir,” katanya.

Ada rahmat, penduduk tetap bersyukur

Biarpun begitu, Ahmad berkata, situasi berkenaan sebaliknya memberi rahmat kepada penduduk kampung yang mengusahakan perniagaan inap desa atau chalet apabila mereka menerima kedatangan ramai pelancong yang ingin menerokai situasi beting pasir itu.

“Meriah. Apabila sungai cetek, ramai pula yang bawa keluarga untuk bermandi-manda di sungai. Jadi memang sambutan menggalakkan dan kami pula buat aktiviti bola tampar di beting pasir atau aktiviti berjalan pada waktu malam di dataran pasir itu,” katanya.

Perkampungan itu tidak sekadar tertumpu kepada aktiviti pelancongan akan tetapi sumber ekonomi utama penduduk yang turut bergantung kepada pertanian pisang juga sangat terkesan, kata Wan Hassan Wan Bakar, 63.

“Kebanyakan petani pisang di kampung ini warga emas dan kami menanam pisang tanduk, jelai berangan dan jual di Kampung Bantai. Biasanya kami akan bawa lebih kurang 200 kilo pisang menggunakan bot sebab tidak mampu untuk beli Hilux.

“Susahlah apabila air surut sebab banyak kali terkandas dan kena tarik. Bukan mudah jalan sungai berbengkang-bengkok, ikut alur sungai dan kalau cetek memang memerlukan kudrat tambah lagi dah usia begini. Tetapi, kena buat juga sebab itulah sumber pendapatan,” katanya.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) suhu maksimum harian di daerah Jerantut merekodkan 33 darjah Celsius dan dalam tempoh 1 hingga 31 Julai lepas hanya lapan hari sahaja direkodkan hujan.

Sebelum ini, daerah yang terkenal dengan masakan gulai asam rong ini pernah merekodkan status cuaca panas tahap atau berjaga-jaga di Semenanjung selain daerah lain di Pahang iaitu Raub, Bentong dan Temerloh serta Pasir Mas dan Kuala Krai di Kelantan.

MetMalaysia sebelum ini menjelaskan taburan hujan yang rendah dijangka berterusan sehingga bermula fasa peralihan monsun dengan situasi itu menyebabkan Malaysia berdepan cuaca lebih panas dan kering sehingga pertengahan September.

Related Posts

Program MADANI Kita jambatan penting kerajaan-rakyat – KP JKOM

KUANTAN – Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) akan menggerakkan 17 siri Program MADANI Kita (PMK) di seluruh negara bagi merapatkan jurang komunikasi antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi. Menyifatkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jualan Rahmah MADANI rekod transaksi lebih RM350 juta

KUANTAN – Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara dilaksanakan sebanyak 22,834 kali sehingga hujung Ogos lalu, dengan nilai jualan melebihi RM350 juta. Ia sekali gus memberi manfaat kepada rakyat…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Cadangan akar umbi belia Sabah jadi input Belanjawan Belia MADANI 2027

Cadangan akar umbi belia Sabah jadi input Belanjawan Belia MADANI 2027

Menang pilihan raya bukan lesen guling Raja – Anwar

Menang pilihan raya bukan lesen guling Raja – Anwar

Laporan awal pengurusan dan tatakelola FELDA didedah minggu depan – Anwar

Laporan awal pengurusan dan tatakelola FELDA didedah minggu depan – Anwar

Hak mohon pengampunan milik setiap banduan, keputusan bukan di tangan kerajaan

Hak mohon pengampunan milik setiap banduan, keputusan bukan di tangan kerajaan

Anwar mahu dengar penjelasan Anthony sebelum putuskan peletakan jawatan

Anwar mahu dengar penjelasan Anthony sebelum putuskan peletakan jawatan

Perpaduan Melayu-Islam: Antara tuntutan agama dan kepentingan parti politik

Perpaduan Melayu-Islam: Antara tuntutan agama dan kepentingan parti politik